Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG –
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan Prof. Dr. M. Iqbal Saripan,
dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM untuk
tempoh selama tiga (3) tahun berkuatkuasa mulai 15 Februari 2017 hingga 14
Februari 2020.
Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, 37, menggantikan Prof. Datuk Dr.
Mad Nasir Shamsudin yang tamat tempoh lantikannya pada 30 November 2016.
Beliau mempunyai kelulusan Ph.D in Digital Image Processing,
University of Surrey, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
Elektrik-Elektronik dari Universiti Teknologi Malaysia.
Anak kelahiran Muar, Johor ini telah berkhidmat di UPM lebih
15 tahun sejak 2001 dengan memulakan karier sebagai Tutor di Jabatan
Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi di Fakulti Kejuruteraan, Pensyarah
pada 2006, dilantik sebagai Profesor Madya pada 2011 dan kemudiannya Profesor
pada 2014.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Kejuruteraan
Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2012.
Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Dekan (Pasca
Siswazah), Fakulti Kejuruteraan, UPM pada tahun 2014 dan Pengarah Pusat Jaminan
Kualiti (CQA), UPM pada 2015.
Antara penglibatan profesional yang diceburi ialah beliau
dilantik sebagai IEEE GOLD di Institute of Electrical dan Electronics Engineers
(IEEC) Malaysia pada tahun 2010-2011; Vice Chair untuk IEEE Consumer
Electronics pada tahun 2009 hingga 2012 dan Vice Chair untuk IEEC Signal
Processing in 2014 hingga kini. Beliau juga adalah Chartered Engineer di bawah
Engineering Council UK sejak 2015 dan kini juga merupakan ahli panel penilai
untuk Engineering Council UK.
Sepanjang perkhidmatan di UPM, beliau sememangnya aktif
dalam pengajaran dan juga penyelidikan serta merupakan penerima Top Research
Scientist Malaysia (TRSM) 2013, National Young Scientist Award dan The Young
Outstanding Malaysian Award (TOYM), 2012.
Selain itu, beliau adalah pakar jaminan kualiti akademik
untuk menilai program di Bangladesh yang merupakan sebahagian daripada projek
Bank Dunia.
Di peringkat nasional beliau adalah penilai untuk Malaysian
Qualifications Agency (MQA) dan juga Engineering Accreditation Council (EAC).
Beliau juga terlibat secara aktif di dalam MyQUEST, Polyrate dan My SPeKK.
Portfolio yang akan dipegang oleh beliau adalah mengetuai
dan bertanggungjawab dalam keseluruhan pentadbiran Pejabat Timbalan Naib
Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta meningkatkan pembangunan polisi
akademik, mempromosikan proses jaminan kualiti, menambah baik kualiti
pengajaran dan pembelajaran dan bertanggungjawab ke atas perkembangan dan
promosi hal ehwal antarabangsa.
Ahli pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Prof. Dr. M.
Iqbal Saripan akan dapat mendukung matlamat universiti untuk mencapai matlamat
strategik universiti yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran,
termasuk pengayaan pengalaman pelajar dalam menimba ilmu dan pembangunan
profesional yang berterusan bagi kakitangan akademik universiti.
Pengalaman beliau yang luas dalam bidang jaminan kualiti
akademik merupakan aset kepada pihak universiti di dalam memastikan bahawa UPM
sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan di peringkat kebangsaan mahupun
antarabangsa.
Beliau terlibat secara aktif di dalam konsep Outcome Based Education (OBE) dan terlibat secara aktif di dalam memastikan konsep OBE diguna pakai secara menyeluruh di UPM dan negara. - UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 13/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA