Oleh Hafliza Hussein
Foto oleh by Saleha bt Haron
SERDANG, 3 April (UPM) – Sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berbesar hati mendermakan sebahagian daripada wang kemenangan pertandingan yang mereka sertai ke Tabung Dana Wakaf Ilmu UPM.
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Putra Science Park (PSP) UPM memuji sikap dermawan yang ditonjolkan kumpulan pelajar itu yang turut menaikkan reputasi UPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Mereka diraikan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar ke Tabung Wakaf UPM baru-baru ini.
Kumpulan lima pelajar yang dianggotai oleh Loh Chu Xin, Mohd Hafez Mohd Khalid, Norameerah Zamzuri, Nur Raihan Jabbar dan Lee Soon Bon berjaya memenangi tempat kedua pada Pertandingan Simulasi Perniagaan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Februari lalu.
Pertandingan yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memerlukan setiap kumpulan yang bertanding menjana idea kreatif untuk menghasilkan produk baharu dan membentangkan pelan pemasaran produk.
Kumpulan Apprentice Sdn. Bhd. yang merupakan gabungan pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Pengajian Pendidikan itu turut membawa pulang hadiah wang tunai RM5 ribu dan sijil penyertaan.
Sementara itu, pelajar tahun satu FEP, Kaviyarasu Elangkovan berjaya meraih tempat ketiga dan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah USD500 berserta sijil penyertaan pada pertandingan Global Social Venture Challenge South East Asia yang diadakan di Bangkok bulan lalu.
Kaviyarasu turut meraih anugerah Best 60 Second Presenter pada pertandingan yang sama di mana setiap peserta dikehendaki membentangkan pelan perniagaan masing-masing dalam tempoh 1 minit dan menjawab semua soalan yang diajukan oleh juri dengan tepat.
Kumpulan Apprentice Sdn Bhd mendermakan RM500, sementara Kaviyarasu RM150 kepada pemegang amanah tabung wakaf, Bendahari UPM, Zulkiflee Othman sambil disaksikan oleh TNC HEPA, Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Pengarah PSP, Prof. Madya Dr. Shamsilah Roslan.
–upm/haf/mnm/kam/kgo
Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA