Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 29 Sep - Bagi mengelakkan isu kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa kanak-kanak yang tiba-tiba muncul melintas jalan, orang dewasa perlu peka dengan persekitaran serta memandu dengan perlahan di kawasan sekolah dan perumahan.
Pensyarah, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Kulanthayan K.C Mani menyarankan agar semua orang patuh halaju 30km/j di sekitar kawasan perumahan dan juga sekolah.
"Kedua-dua kawasan ini digunakan oleh kanak-kanak yang berumur antara 5-12 tahun dan adalah pengguna jalanraya yang paling berisiko tinggi apabila kemalangan terjadi.
Sebelum kejadian buruk berlaku, amalkan memandu dengan perlahan mengikut had laju yang ditetapkan,” katanya pada siri Syarahan Inaugural 'Keselamatan Kanak-kanak di Jalan Raya: Vaksin Kesihatan Awam, di Dewan Kuliah Utama, FPSK, UPM hari ini.
Beliau berkata, jika kanak-kanak dilanggar pada had laju 30km/j, pemandu akan sempat membrek dan berkurang kepada 25km/j sahaja jika impak kemalangan berlaku dan kanak-kanak berkenaan akan mengalami kecederaan yang ringan sahaja.
Profesor Dr. Kulanthayan berkata, setiap orang dewasa wajib bersama-sama kanak-kanak di jalan raya untuk mengelakkan isu kanak-kanak yang tiba-tiba muncul melintas jalan seorang diri.
"Ini kerana kanak-kanak yang ingin melintas jalan seorang diri tidak dapat melihat seperti orang dewasa kerana mereka hanya boleh melihat 60 darjah berbanding orang dewasa. Ibu bapa ataupun penjaga perlu diingatkan supaya lebih berhati-hati untuk memantau pergerakan anak-anak,” katanya.
Adalah penting bagi orang dewasa menemani dan membimbing anak melintas jalan di tempat sesuai serta selamat seperti di lintasan lampu isyarat dan jejantas bagi memastikan keselamatan kanak-kanak melintas di jalan raya.
Sementara itu, beliau juga mencadangan agar ibu bapa perlu mengamalkan penggunaan topi keledar keselamatan kanak-kanak ketika menunggang basikal bagi mengelakkan kemalangan kecil atau besar ketika bermain basikal di taman perumahan.
Tarikh Input: 03/10/2023 |
Kemaskini: 03/10/2023 | syamilakamarul
PERKONGSIAN MEDIA