Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
SERDANG, 27 Sept – Pameran solo InspiKarya Khairul Aidil Azlin Abd Rahman 2023 yang telah dianjurkan di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan satu daripada kecemerlangan inovasi FRSB, UPM dalam bidang reka bentuk perindustrian.
Pameran InspiKarya merupakan salah satu usaha pereka industri yang telah mendedikasikan hidup untuk memupuk inti pati keindahan dan fungsi dalam bidang reka bentuk perindustrian. Pameran tersebut juga adalah sempena dengan majlis siri syarahan utama di UPM.
Profesor, Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, FRSB, UPM, Prof. Ts Dr. Khairul Aidil Azlin Abd Rahman CIDe berkata, koleksi yang dipamerkan menerusi pameran ini merupakan penjelmaan semangat dalam bidang reka bentuk perindustrian serta membuktikan usaha berterusan beliau dalam inovasi yang menggabungkan kesenian dengan teknologi.
“Setiap ciptaan yang dipamerkan ialah bukti penerokaan tanpa henti dalam proses kreatif yang melangkaui norma konvensional.
“Koleksi pameran bukan hanya terhad kepada kecemerlangan estetik, tetapi meluas ke arah pengkomersialan, serta memberi nafas hidup kepada reka bentuk yang merangkumi kedua-dua nilai produk dan kepentingan mendalam disiplin reka bentuk,” katanya.
Menerusi Pameran InspiKarya Khairul Aidil Azlin Abd Rahman 2023, pihak penganjur ingin menerapkan falsafah “Reka bentuk adalah tentang berfikir secara berbeza” atau “Design is all about thinking differently”, di mana melalui penyelidikan yang teliti, idea imaginatif dan integrasi teknologi yang lancar, seni dan reka bentuk mampu bersatu secara harmoni dengan alam semula jadi, teknologi dan inovasi.
Dalam pada itu, pameran yang memberikan pengalaman simfoni inovasi, kemampanan dan reka bentuk ini bukan sahaja telah menyumbang dalam bidang komersial, tetapi turut mendapat pengiktirafan berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pameran InspiKarya Khairul Aidil Azlin Abd Rahman 2023 di Galeri Serdang, FRSB, UPM masih dibuka kepada semua warga UPM sehingga 20 Oktober ini untuk melihat koleksi pameran yang berkonsepkan kelestarian, serta meraikan keindahan alam semula jadi dan identiti tempatan.
Tarikh Input: 27/09/2023 | Kemaskini: 27/09/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA