Oleh: Adidi Tamin
BALI, 11 Feb – Kumpulan Nasyid Nahwan Nur, Universiti
Putra Malaysia (UPM) mengadakan program Kembara Bakti Tabanan Bali, Indonesia
bagi membantu masyarakat Islam di Panti Asuhan Yayasan Al-Islam Hidayatullah,
Bali.
Penyelaras Kelab, Adidi Tamin berkata program khidmat
masyarakat itu berkonsepkan ‘Bakti Budaya’ iaitu memberikan bantuan secara
sukarela kumpulan, serta membuat persembahan kepada anak-anak di panti
tersebut.
“Ini sejajar dengan hasrat universiti untuk memupuk setiap
warganya menjadi insan yang prihatin terhadap kepentingan ilmu pengetahuan
serta mengaplikasikan ilmu untuk membantu meningkatkan sahsiah dan budaya
Malaysia kepada masyarakat luar,” katanya.
Wakil Panti Asuhan Yayasan Al-Islam Hidayatullah, Didik
Khoirudin Zuhri berkata panti asuhan itu yang terletak di tengah bandar
Denpasar Bali menempatkan hampir 900 penghuni terdiri daripada anak-anak yatim
dan golongan miskin.
“Sumbangan daripada Nahwan Nur secara langsung membantu kami
di panti dan berharap jalinan hubungan ini akan diteruskan bagi memperkukuhkan
lagi perhubungan serta perkongsian ilmu dari pelajar UPM kepada anak-anak di
sini,” katanya.
Nahwan Nur yang mewakili UPM menyampaikan bantuan berbentuk kewangan, kitab Yassin serta peralatan ibadah kepada wakil panti asuhan hasil daripada sumbangan warga UPM, alumni dan orang perseorangan.
Pengarah program, Muhammad Aliff Rusli yang juga Presiden
Kelab Nasyid Nahwan Nur berkata program itu memberi banyak manfaat kepada ahli
kumpulan dalam meningkatkan lagi tahap kesedaran sivik terutama kepada golongan
yang memerlukan.
“Program ini dapat membuka mata setiap ahli betapa
pentingnya nilai-nilai kemanusiaan sejagat sejajar dengan dakwah yang
disampaikan oleh kami dalam bentuk muzik nasyid,” katanya.
Program selama lima hari itu juga adalah platform terbaik untuk warga UPM merasai sendiri pengalaman berada di tempat orang, selain memupuk nilai murni dalam membantu mereka yang memerlukan sekaligus menanamkan sifat kesedaran dalam diri dan bersyukur diberikan nikmat dalam kehidupan. - UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 15/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA