Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Gambar oleh Marina Ismail
SERDANG – Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku alumni Universiti diseru untuk menyumbang ilmu kepada pembentukan masyarakat dan tamadun dengan lebih berkualiti, berintegriti dan sinergi dengan alam persekitaran.
“Para graduan diharapkan agar terus berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta menjadikan kejayaan hari ini sebagai landasan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” kata Pro-Canselor UPM, Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin.
Beliau berkata mereka juga perlu menyokong usaha memperkukuhkan hubungan yang lebih erat antara alumni dan UPM kerana alumni merupakan komponen penting dalam melonjakkan kecemerlangan Universiti pada peringkat antarabangsa.
Selain itu Tan Sri Nayan juga menyeru graduan UPM menangani kecanggihan teknologi maklumat dan ICT secara matang dan positif bagi memelihara nilai masyarakat ke tahap yang lebih tinggi.
“Ledakan teknologi banyak mengubah persepsi dan cara masyarakat berfikir terhadap sesuatu perkara yang berlaku di persekitaran mereka.
“Peranan ibu bapa dan graduan universiti harus terus memelihara nilai kasih sayang dan kekeluargaan merentasi kaum kerana kekuatan negara bergantung kepada toleransi antara kaum, ” katanya pada ucapan Majlis Konvokesyen ke-37 UPM sesi 2 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di sini.
Pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen UPM ke-37, Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Anugerah Profesor Emeritus kepada Prof. Dr. Khor Geok Lin.
Keseluruhan seramai 7,149 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 26 Oktober hingga 29 Oktober ini. Daripada jumlah itu, penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 440, Ijazah Sarjana (Master) seramai 2,197, Bacelor (4,158) dan Diploma (354).
Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA