BioGreen Week 4.0 Tingkat Kesedaran Jaga Alam Sekitar | Universiti Putra Malaysia
BYEJQA2~
» BERITA » BioGreen Week 4.0 tingkat kesedaran jaga alam sekitar

BioGreen Week 4.0 tingkat kesedaran jaga alam sekitar

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Atiqah Nasser, Nik Nursyamila Hani Mohd Anuar, Siti Nasihah Suhana Wazir, Nur Aina Husna Sazali dan Nurnadzirah Parmin

SERDANG, 21 Nov – Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program BioGreen Week 4.0 (International Edition) 2023 untuk meningkatkan kesedaran menjaga alam sekitar bersempena dengan Minggu Sains Negara 2023, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, program yang bertemakan “Care for Nature. Save the Future.” bertujuan untuk menggalakkan pelajar berfikiran kreatif dalam penggunaan barangan kitar semula sebagai salah satu inisiatif efektif untuk menjaga alam sekitar.

“Program ini bukan sahaja dapat menggilap nilai-nilai kreatif dalam kalangan pelajar, tetapi turut menjimatkan kos pembelian barangan apabila dapat memanfaatkan sepenuhnya barangan kitar semula.

"Di samping itu, aktiviti ini juga menajamkan tahap pemikiran pelajar supaya menjadi lebih kritis dalam menginovasi barangan kitar semula menjadi produk baharu,” katanya.

BioGreen Week 4.0 dilaksanakan secara dalam talian dengan kerjasama International Science, Technology and Innovation Centre (ISTIC), Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Program ini telah mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi sepanjang penganjurannya, iaitu sebanyak 3,513 peserta, termasuklah 82 peserta antarabangsa dari Indonesia, Nigeria, India, Pakistan dan Filipina.

Pengarah program, Atiqah Nasser berharap agar program ini dapat menambah ilmu pengetahuan dan kesedaran kepentingan untuk menjaga kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat, khususnya para pelajar.

“Dengan penglibatan pelajar daripada pelbagai lapisan budaya dan negara, program ini merupakan usaha bersama secara global untuk memastikan warisan alam sekitar kita dijaga dan diwarisi secara lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Tarikh Input: 22/11/2023 | Kemaskini: 22/11/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---