Oleh Zed Diyana Zulkafli
GRIK (BELUM) – Kumpulan Kejuruteraan Air, Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan bengkel mengenalpasti masalah Orang Asli di Kampung Sungai Kejar dan Kampung Sungai Tiang, Hutan Belum, Perak.
Bengkel itu mencari pendekatan baru yang inovatif bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat orang asli Belum.
Perbincangan dua hala bersama pegawai dari pelbagai jabatan kementerian, NGO dan industri turut diadakan bagi mengenalpasti usaha yang telah dilakukan untuk membantu masyarakat Orang Asli di situ.
Antara perkara yang dibincangkan adalah bagaimana pelaksanaan penyelidikan universiti dapat diselarikan dengan usaha meningkatkan kedayatahanan komuniti luar grid di Malaysia dalam menghadapi perubahan alam sekitar dan sosioekonomi arus perdana seperti penyelidikan pertanian, air, sanitasi, pemakanan dan kesihatan komuniti Orang Asli.
Bengkel itu dibuat dengan kerjasama Pusat Agroekologi, Air dan Kedayatahanan, Universiti Coventry di bawah skim Netwon Fund Researcher Links Workshop, biayaan sama British Council dan Akademi Sains Malaysia.
Bengkel yang disertai 28 penyelidik muda dari United Kingdom (12 Orang) dan Malaysia (16 orang) dengan dibimbing empat mentor pakar dalam bidang berkenaan akan memulakan beberapa projek inisiatif untuk orang asli Belum.
Peserta bengkel, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr. Balqis Mohamed Rehan berkata penglibatan dalam program itu membuatkan beliau lebih peka dalam merangka projek kajian yang dapat membantu permasalahan komuniti Orang Asli.
Sementara Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr Muhammad Razif Mahadi berkata bengkel tersebut membolehkan pensyarah muda berkongsi idea dengan pakar daripada pelbagai disiplin bagi merintis penyelidikan bersama antara institusi UK dan Malaysia.
Peserta bakal memulakan beberapa projek inisiatif dalam jangka masa terdekat, dengan matlamat jangka panjang untuk meneruskan penglibatan dengan komuniti Orang Asli di Hutan Belum khususnya dan di Malaysia- UPM
Tarikh Input: 09/11/2017 | Kemaskini: 09/11/2017 | syifarida
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA