UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara Melalui Bengkel Mycoplasmosis Serantau | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTIKEL » UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara Melalui Bengkel Mycoplasmosis Serantau

UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara Melalui Bengkel Mycoplasmosis Serantau

Ringkasan Artikel
Ayam dan itik menyumbang lebih 80% kepada sumber protein rakyat Malaysia, namun kini berdepan ancaman bakteria Mycoplasma gallisepticum (MG) dan Mycoplasma synoviae (MS) yang boleh menjejaskan keterjaminan makanan negara.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Mozaid Idris

 

 

Ayam dan itik menyumbang lebih 80% kepada sumber protein rakyat Malaysia, namun kini berdepan ancaman bakteria Mycoplasma gallisepticum (MG) dan Mycoplasma synoviae (MS) yang boleh menjejaskan keterjaminan makanan negara.

 

Dua bakteria kecil ini bukan sahaja menyerang sistem pernafasan dan sendi ayam serta itik, malah mengakibatkan penurunan berat badan, kemerosotan pengeluaran telur serta meningkatkan kerentanan terhadap jangkitan lain.

 

Dalam konteks keselamatan makanan negara, bakteria ini bukan sekadar isu kesihatan ternakan, malah boleh menggugat kestabilan bekalan sumber protein utama negara.

 

Menyedari kepentingan ini, Institut Biosains (IBS) UPM dengan kerjasama Fakulti Perubatan Veterinar UPM dengan kerjasama Institut Biosains UPM dan ECO Animal Health Ltd. menganjurkan South East Asia Mycoplasmosis Workshop 2025 bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan pemahaman peserta terhadap penyakit mikoplasmosis, selaras dengan aspirasi Blueprint Naib Canselor UPM dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui kepakaran veterinar dan penyelidikan berkualiti. Bengkel dua hari ini mengumpulkan 90 para veterinawan dan penternak daripada sepuluh buah negara termasuk China,Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Thailand dan Filipina.

 

 

Pengarah Institut Biosains (IBS) UPM merangkap Ketua Program HICoE (Vaksin dan Terapeutik Haiwan) dan juga merupakan Pengerusi Bengkel, Prof. Dr. Zunita Zakaria menjelaskan bahawa penyakit mikoplasmosis telah lama menjejaskan sektor unggas, namun masih kurang ditangani secara mendalam berikutan kerumitan bakteria itu sendiri.

 

“Mycoplasma ini sangat unik kerana ianya merupakan satu- satunya bakteria yang tiada dinding sel, menjadikannya rintang terhadap sesetengah antibiotik. Ia memerlukan rawatan yang tepat dan spesifik.”

 

Tambah beliau, jangkitan ini memberi kesan besar kepada ayam penelur yang mempunyai kitaran hidup lebih panjang, sekali gus menyukarkan kawalan penyakit secara menyeluruh dan boleh meningkatkan kos rawatan bagi penternak.

 

 

Bagi mengenal pasti tahap ancaman sebenar, IBS kini giat menjalankan kajian prevalens terhadap jangkitan MG dan MS di ladang unggas seluruh negara. Dapatan awal menunjukkan peningkatan ketara kes jangkitan MS yang turut menjejaskan sendi ayam, seterusnya memberi kesan kepada pergerakan dan pertumbuhan haiwan tersebut.

 

Bagi menangani isu ini, IBS sedang mengenal pasti antibiotik paling berkesan melalui data lapangan dan ujian makmal, sejajar dengan mandat sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) dalam bidang vaksin dan terapeutik haiwan.

 

Prof. Dr. Zunita turut menyatakan harapan agar kajian dan latihan yang dijalankan dapat memperkukuh ketepatan diagnosis serta pemilihan rawatan mikoplasmosis yang lebih berkesan.

 

 

“Kami berharap diagnosis yang lebih tepat dapat membantu penternak memberikan rawatan bersasar, sekali gus mengurangkan kerugian dalam industri unggas. Selain itu, kami sedang mengusahakan agar Institut Biosains UPM diiktiraf sebagai makmal rujukan di rantau Asia Tenggara memandangkan tiada makmal seumpamanya, di rantau ini,” jelasnya.

 

Dengan pendekatan berteraskan penyelidikan diagnostik, pembangunan vaksin serta pemindahan ilmu kepada komuniti veterinar, bengkel ini bukan sekadar program latihan tetapi menjadi solusi praktikal kepada cabaran kesihatan ternakan yang mengancam keterjaminan makanan negara. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan UPM sebagai institusi rujukan dalam menjamin keselamatan makanan melalui penyelidikan berimpak tinggi.

Tarikh Input: 01/08/2025 | Kemaskini: 01/08/2025 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIDHAW~