Inovasi IBS UPM: Losyen Herba Pelindung Nyamuk, Bebas Bahan Kimia | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTIKEL » Inovasi IBS UPM: Losyen Herba Pelindung Nyamuk, Bebas Bahan Kimia

Inovasi IBS UPM: Losyen Herba Pelindung Nyamuk, Bebas Bahan Kimia

Ringkasan Artikel
Setiap malam menjadi ujian buat ibu bapa yang memiliki bayi kecil. Tangisan si manja yang tidak henti-henti kadangkala berpunca daripada perkara yang kelihatan remeh, gigitan nyamuk. Namun, kesannya bukan kecil. Ruam kemerahan dan lebam mula muncul pada kulit bayi, menandakan ketidakselesaan yang menyakitkan.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

 

Setiap malam menjadi ujian buat ibu bapa yang memiliki bayi kecil. Tangisan si manja yang tidak henti-henti kadangkala berpunca daripada perkara yang kelihatan remeh, gigitan nyamuk. Namun, kesannya bukan kecil. Ruam kemerahan dan lebam mula muncul pada kulit bayi, menandakan ketidakselesaan yang menyakitkan.

 

Lebih membimbangkan, gangguan ini berlaku walaupun pelbagai kaedah penghalau serangga telah digunakan daripada ubat nyamuk elektrik hinggalah semburan aerosol. Ramai ibu bapa akhirnya berada dalam dilema antara mahu melindungi anak daripada nyamuk atau mengelakkan pendedahan bahan kimia dalam jangka masa panjang.

 

Prihatin terhadap cabaran ini, sekumpulan penyelidik dari Unit Biodiversiti, Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan pendekatan berasaskan alam semula jadi.

 

Penyelaras Unit Biodiversiti IBS, Dr. Khairil Mahmud berkata, pihaknya menjalankan kajian intensif terhadap potensi tumbuhan herba sebagai alternatif perlindungan kulit yang lebih selamat dan lembut, termasuk untuk bayi.

 

“Sejak awal penubuhan unit ini, kami memang aktif dalam penyelidikan berasaskan herba. Kami percaya herba tempatan masih menyimpan banyak rahsia kesihatan yang boleh dimanfaatkan secara moden,” katanya.

 

 

Sebelum ini, IBS pernah memperkenalkan bunjut mandian herba yang mendapat sambutan hangat. Kejayaan itu mencetuskan penghasilan inovasi baharu, Losyen Zan Insect, sejenis losyen pelindung serangga berasaskan herba yang turut bertindak melembapkan kulit, meredakan kegatalan dan mempercepatkan penyembuhan luka ringan.

 

“Kami hasilkan formulasi ini berdasarkan kajian terperinci. Ujian makmal menunjukkan ia dapat menghalang pembiakan bakteria pada kulit sambil menghasilkan aroma semula jadi yang tidak digemari serangga,” tambah Dr. Khairil.

 

Pegawai Sains IBS, Julia Aziz, yang terlibat dalam pembangunan produk ini berkata, pendekatan mesra pengguna menjadi keutamaan sejak dari awal.

 

“Kami mahu sesuatu yang sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk bayi. Gabungan minyak serai wangi dan minyak argan menjadikan aromanya lembut dan tahan lama, sangat sesuai untuk aktiviti luar seperti berkebun, berkhemah atau bersantai di laman rumah,” katanya.

 

Formulasi ini membawa pendekatan 6 dalam 1, melindungi, melembap, melegakan, merawat, menyegarkan dan menenangkan kulit serta bebas bahan kimia berbahaya.

 

 

Melihat kepada maklum balas awal pengguna, ramai memberikan respons positif dan melakukan pembelian berulang. Ada yang menyifatkannya sebagai killer product kerana berkesan dan selesa digunakan.

 

Produk ini kini boleh didapati terus daripada pihak IBS UPM dalam tiga pilihan saiz, 20ml, 50ml dan 100ml serta dalam dua set cenderamata yang turut memuatkan sabun herba dan tapak sabun kayu.

 

Dengan pendekatan berasaskan herba tempatan dan formulasi yang selamat, inovasi ini bukan sekadar produk, malah ia menjadi penyelesaian kepada dilema ramai ibu bapa masa kini. Diperakui berkesan dan selamat digunakan pada bayi, Losyen Zan Insect bukan hanya pelindung daripada serangga, tetapi lambang komitmen UPM dalam memperkasakan sains alam semula jadi untuk kesejahteraan masyarakat.

Tarikh Input: 25/07/2025 | Kemaskini: 25/07/2025 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYHbSAB~