Elak Konvoi Motosikal Balik Kampung | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Elak Konvoi Motosikal Balik Kampung

Elak Konvoi Motosikal Balik Kampung

Ringkasan Artikel
Aktiviti konvoi motosikal ketika musim perayaan boleh mengundang bahaya kepada penunggang serta pengguna jalan raya lain.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

Pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lazimnya menjadi detik yang paling dinanti-nantikan oleh anak perantauan. Ramai yang memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta dan motosikal, selain bas, kereta api dan kapal terbang sebagai pengangkutan utama.

 

Biasanya penunggang motosikal akan pulang secara berkonvoi bersama keluarga atau rakan. Meskipun menyeronokkan, aktiviti konvoi dilihat semakin membimbangkan apabila kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal sering dilaporkan, khususnya ketika musim perayaan dan hujung minggu.

 

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menegaskan bahawa aktiviti konvoi motosikal ketika musim perayaan boleh mengundang bahaya kepada penunggang serta pengguna jalan raya lain.

 

 

Konvoi motosikal ini tidak selamat kerana ia mengambil ruang yang besar dan boleh mengganggu pergerakan kenderaan lain. Penunggang yang bergerak secara beramai-ramai sering kali tidak menggunakan pertimbangan yang selamat dan cenderung untuk menunggang secara melulu. Keadaan ini bukan sahaja berbahaya malah meningkatkan risiko kemalangan.

 

Konvoi motosikal tidak digalakkan bergerak secara berkumpulan, kecuali jika diiringi oleh polis trafik. Sebaliknya, setiap penunggang dinasihatkan supaya menunggang secara berasingan mengikut kemampuan masing-masing dan mematuhi peraturan jalan raya.

 

Golongan paling terdedah risiko kemalangan

Penunggang motosikal sememangnya golongan paling terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya kerana tiada perlindungan fizikal berbanding pemandu kenderaan lain.


Penunggang akan ‘mencilok’ antara kenderaan lain untuk mencari ruang ke hadapan. Walaupun dilihat sebagai satu kelebihan kepada penunggang motosikal, hakikatnya perbuatan ini sangat berbahaya, terutama apabila mereka berada dalam ‘titik buta’ kenderaan lain.


Dalam konteks balik kampung sempena Hari Raya, penunggang motosikal akan berkongsi jalan dengan pengguna lain, bimbang situas ini akan mencetuskan konflik, lebih-lebih lagi apabila semua orang dalam keadaan tergesa-gesa dan keletihan.


Pada musim perayaan ini, keselamatan harus menjadi keutamaan semua pengguna jalan raya. Semangat pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga memang sesuatu yang menggembirakan.


Kemalangan jiwa boleh dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing serta mengguna kemudahan dengan penuh rasa tanggungjawab. Biarlah perjalanan pulang ke kampung menjadi satu kenangan yang indah, bukan tragedi yang memilukan.

Tarikh Input: 27/03/2025 | Kemaskini: 27/03/2025 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDeUAF~