Pentingnya Memastikan Kesucian Penyembelihan Halal Haiwan Korban | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pentingnya memastikan kesucian penyembelihan halal haiwan korban

Pentingnya memastikan kesucian penyembelihan halal haiwan korban

Article Summary
Ibadah korban adalah amalan umat Islam seluruh dunia bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. melaksanakan perintah Allah SWT menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s.


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

Ibadah korban adalah amalan umat Islam seluruh dunia bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. melaksanakan perintah Allah SWT menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. 

Ibadah korban melibatkan penyembelihan haiwan ternakan iaitu lembu dan kambing yang kemudiannya akan disedekahkan kepada fakir miskin serta 1/3 untuk diberikan kepada saudara, rakan dan keluarga. 

Namun kaedah penyembelihan korban perlu dilakukan dengan betul dan berhemah dan penting penyembelihan itu halal bagi mengelakkan tidak sah korbannya.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Awis Qurni Sazili berkata, syarat-syarat sah sembelihan halal adalah bagi memastikan kesucian halal terpelihara di samping aspek toyyiban.

“Penyembelihan halal ialah ianya wajib dilaksanakan berteraskan kepada empat rukun iaitu jenis binatang atau haiwan yang disembelih, penyembelih, jenis alatan digunakan dan proses sembelihan,” katanya.

Tambah beliau, dalam konteks penyembelihan halal, aspek sains dan syariah sentiasa perlu diintegrasikan bagi memperluaskan konsep halal dan toyyiban bukan sahaja di kalangan orang Islam tetapi juga bukan Islam. 

Prof. Dr. Awis Qurni berkata, penyembelihan halal juga merupakan satu proses memotong pada bahagian leher ternakan bagi memutuskan urat halqum, mari, saraf dan saluran darah utama iaitu arteri karotid dan vena jugular bagi mengeluarkan darah sebanyak yang mungkin agar dapat mematikan ternakan dengan cepat.

“Pengeluaran darah yang banyak bukan sahaja dapat menjaga ihsan dan kebajikan haiwan di mana haiwan tidak melalui kesakitan dan kesengsaraan yang lama tetapi juga dari segi kualiti daging yang lebih stabil jangka hayatnya kerana banyak bahan-bahan toksik dan sisa kumuhan dapat dibuang melalui pendarahan sempurna,” katanya. 

Beliau turut tidak menafikan penyembelihan halal kini sedang berdepan dengan pelbagai teknologi serba moden yang kebanyakannya berteraskan kepada faktor kebajikan haiwan, ekonomi dan kualiti. 

Di antaranya iaitu teknologi pegun yang digunakan ke atas mana-mana haiwan bagi memastikan tiada sebarang kesengsaraan disebabkan oleh tegasan secara fizikal ataupun emosi dan kesakitan seawal peringkat sebelum sembelih. 

“Kaedah pegun yang tidak menyebabkan kecederaan kekal pada bahagian otak ataupun kematian ternakan serta dibenarkan dalam penyembelihan halal, namun, keberkesanan pegun ke atas haiwan dalam konteks halal bergantung kepada beberapa faktor seperti status kesihatan dan fizikal seseekor haiwan dan kaedah pegun itu sendiri.”

“Ada juga pandangan bahawa jika sekiranya haiwan yang disembelih adalah sihat dan dengan menggunakan pisau yang sangat tajam, walaupun tanpa pegun, maka penyembelihan akan berlaku dengan sempurna dan ini akan mempercepatkan kematian sekaligus memastikan haiwan tidak melalui tempoh kesengsaraan dan kesakitan yang lama,” katanya. 

Prof. Dr. Awis Qurni berkata, masyarakat Islam kini amat sensitif dengan isu halal, namun masih belum menghayati konsep toyyiban yang sebenarnya iaitu kebajikan haiwan sering terabai dan ianya seringkali dapat dilihat terutama bila menjelang musim ibadah korban. 

“Penggunaan pisau yang tidak cukup tajam, pemotongan leher yang tidak dilakukan dengan sempurna serta penyembelihan yang dilakukan di hadapan haiwan yang lain adalah antara isu-isu yang seringkali timbul dan ianya menjejaskan aspek ihsan atau kebajikan haiwan yang merupakan salah satu dari aspek toyyiban dan bukan sahaja terbatas kepada kualiti daging,” katanya.  

Beliau tidak menafikan tanggapan negatif oleh pihak Barat yang menghubungkaitkan penyembelihan dan pemakanan daging halal dengan ‘Islamic Terrorism’ ataupun keganasan. Ini adalah disebabkan pengendalian haiwan yang tidak menitikberatkan aspek ihsan yang sebenarnya seperti dituntut dalam Islam. 

“Justeru, kita perlu bersama-sama menangkis persepsi sedemikian bukan sahaja melalui Al-Quran, Hadith, Ijma’ dan Qiyas tetapi juga melalui penghayatan dan amalan sebenarnya,” katanya. 

Apabila ditanya berkenaan cabaran daging halal antaranya yang kini melalui pendekatan bioteknologi yang boleh menghasilkan daging kultur, Prof. Dr. Awis Qurni berpandangan penghasilan daging tersebut bukan sahaja menjadi satu cabaran kepada industri daging halal, malahan ianya juga merupakan satu cabaran besar buat industri daging secara keseluruhannya. 

“Teknologi daging kultur juga merupakan salah satu dari pendekatan terkini bagi mengatasi isu berkaitan keterjaminan makanan memandangkan populasi manusia yang semakin meningkat dan menyebabkan timbulnya isu ketidakcukupan penawaran daging dalam masa beberapa tahun yang akan datang.”

Sekiranya, sel stem diperolehi dari sumber yang halal dan dihasilkan melalui proses yang halal, maka ianya merupakan satu alternatif bagi daging halal kelak,” katanya. 

Tambah beliau, teknologi daging kultur dikatakan dapat menyelesaikan beberapa isu berkaitan alam sekitar iaitu kesan negatif akibat aktiviti penternakan, kekurangan sumber tanah dan air untuk aktiviti penternakan, aspek kebajikan haiwan dan kualiti serta keselamatan daging. 

“Justeru, IPPH UPM sejak tahun 2007 hingga kini, adalah di antara segelintir penyelidik Muslim yang masih lagi menjalankan penyelidikan yang komprehensif tentang penyembelihan halal berkaitan aspek kebajikan haiwan dan kualiti daging.,” tambah beliau. 

IPPH UPM turut menghasilkan pelbagai penerbitan saintifik yang telah dihasilkan dan ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada akademia tetapi juga kepada pihak serta agensi yang berperanan dalam pembangunan, pindaan dan penguatkuasaan beberapa fatwa, undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan penyembelihan halal dan kebajikan haiwan di dalam dan luar negara. - UPM

Date of Input: 03/07/2023 | Updated: 03/07/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVTA5~