Article Summary
Kekeliruan serta perubahan tingkah laku yang dialami sesetengah pesakit pasca strok bukan sekadar kesan penuaan, sebaliknya boleh menjadi petanda delirium yang memerlukan intervensi awal.

Oleh: Husnina Zahra Hadri
SERDANG, 1 Jul – Kekeliruan serta perubahan tingkah laku yang dialami sesetengah pesakit pasca strok bukan sekadar kesan penuaan, sebaliknya boleh menjadi petanda delirium yang memerlukan intervensi awal.
Ketua Jabatan Pengurusan Kejururawatan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Azliza Rahim berkata, delirium sering disalah anggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan normal sedangkan simptom tersebut merupakan kecemasan perubatan yang memerlukan perhatian segera.
“Ramai yang menganggap pesakit warga emas keliru, gelisah atau kerap berubah tingkah laku hanya sebahagian daripada proses penuaan.
“Keadaan tersebut mungkin petanda delirium yang perlu dikenal pasti dan dirawat dengan segera,” katanya.
Menurut beliau, delirium boleh menyebabkan pesakit mengalami kekeliruan secara tiba-tiba, perubahan tingkah laku, kesukaran memberi tumpuan serta gangguan tahap kesedaran yang berubah-ubah sepanjang hari.
Azliza berkata, keadaan tersebut memberi cabaran besar kepada proses pemulihan rehabilitasi kerana pesakit sukar memahami arahan, kurang memberi kerjasama semasa rawatan dan berisiko mengalami tempoh kemasukan ke hospital yang lebih panjang.

“Pesakit mungkin berjaya melalui fasa kritikal strok, namun proses pemulihan boleh terganggu apabila mereka mengalami delirium.
“Keadaan ini menyebabkan rehabilitasi menjadi lebih sukar dan hasil rawatan tidak optimum,” katanya.
Delirium pasca strok ini berlaku kira-kira satu perempat pesakit strok, khususnya dalam kalangan warga emas dan mereka yang mengalami strok yang lebih serius.
Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko delirium termasuk umur melebihi 70 tahun, gangguan kognitif sedia ada, penggunaan pelbagai jenis ubat, jangkitan, dehidrasi, gangguan tidur, kesakitan yang tidak terkawal serta perubahan persekitaran.

Beliau turut menekankan kepentingan petugas kesihatan dan ahli keluarga memahami perbezaan antara delirium, demensia dan kemurungan kerana ketiga-tiga keadaan tersebut mempunyai tanda serta pendekatan rawatan yang berbeza.
“Delirium berlaku secara akut dan perubahan tingkah laku pesakit boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam atau hari. Berbeza dengan dimensia yang berkembang secara perlahan dalam jangka masa panjang katanya.
Date of Input: 01/07/2026 | Updated: 01/07/2026 | zarithsofea

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA