Article Summary
Ketegangan geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat bukan sahaja mencetuskan kebimbangan keselamatan global malah berpotensi memberi kesan senyap tetapi signifikan terhadap bekalan makanan laut Malaysia khususnya dari aspek rantaian bekalan, kos operasi dan kestabilan harga.
Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 13 April – Ketegangan geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat bukan sahaja mencetuskan kebimbangan keselamatan global malah berpotensi memberi kesan senyap tetapi signifikan terhadap bekalan makanan laut Malaysia khususnya dari aspek rantaian bekalan, kos operasi dan kestabilan harga.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rohasliney Hashim, berkata krisis tersebut perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana ia menjejaskan keseluruhan ekosistem perdagangan dunia bukan sekadar negara sumber.
“Malaysia mungkin tidak bergantung kepada Eropah sebagai pembekal utama makanan laut kerana kita mempunyai rakan dagang seperti Jepun, China dan Vietnam. Namun, kita sangat bergantung kepada rantaian logistik global yang melalui laluan perdagangan berisiko,” katanya.
Tambah beliau, gangguan terhadap laluan perdagangan antarabangsa boleh menyebabkan kelewatan penghantaran, peningkatan kos logistik dan ketidakstabilan bekalan menjadikan krisis ini sebagai ancaman senyap kepada keselamatan makanan negara.
“Secara prinsipnya bekalan ikan negara ketika ini masih mencukupi berdasarkan data pendaratan semasa. Lebih 70 peratus bekalan domestik disumbangkan oleh perikanan pantai, laut dalam dan akuakultur,” katanya.

Dr. Rohasliney berkata, beberapa stok ikan pelagik seperti kembung, selar dan pelaling kini berada pada tahap eksploitasi tinggi, manakala stok ikan demersal di beberapa zon perairan menunjukkan tekanan biologi.
“Ini bermakna bekalan kita stabil tetapi tidak mempunyai ruang besar untuk meningkatkan tangkapan,” katanya.
Dalam masa sama, Malaysia masih bergantung kepada import bagi 25 hingga 30 peratus produk tertentu seperti ikan putih, salmon, sotong beku dan makanan laut proses. Segmen ini paling terdedah kepada gangguan rantaian bekalan global.
Beliau berkata, isu utama dalam konflik geopolitik bukanlah kekurangan ikan di laut, tetapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan tersebut.

“Stok ikan global masih ada, tetapi rantaian bekalan menjadi rapuh apabila laluan perdagangan terganggu, kontena sejuk beku tidak mencukupi dan kos logistik meningkat,” katanya.
Sekiranya konflik berpanjangan, Dr. Rohasliney berkata Malaysia dijangka merasai kesan lebih awal bagi produk yang tidak dihasilkan secara domestik.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan global sektor perikanan darat dilihat sebagai benteng penting kepada keselamatan makanan negara.
“Antara kelebihannya termasuk tidak bergantung kepada laluan perdagangan antarabangsa, boleh dikembangkan dengan lebih cepat, serta mampu menghasilkan sumber protein yang stabil,” katanya.

Pengeluaran melalui penternakan tilapia, patin, keli, udang air tawar serta penggunaan teknologi seperti sistem kitar semula air (RAS), bioflok dan kolam pintar berpotensi meningkatkan kapasiti domestik secara signifikan.
Kenaikan harga bahan api akibat konflik turut memberi kesan langsung kepada industri perikanan tempatan.
Dr. Rohasliney berkata, bahan api merangkumi antara 40 hingga 60 peratus kos operasi bot nelayan dan kenaikan harga diesel memaksa nelayan mengurangkan trip ke laut atau mengehadkan kawasan tangkapan.

“Ini boleh menjejaskan jumlah pendaratan dan memberi tekanan kepada bekalan domestik,” katanya.
Selain itu, sektor pemprosesan dan pengedaran turut terkesan apabila kos tenaga dan logistik meningkat, termasuk penggunaan lori sejuk beku dan kontena reefer dalam rantaian sejuk. Kesan berantai ini akhirnya menyebabkan peningkatan harga ikan di pasaran.
Dr. Rohasliney berpandangan, pendekatan dua hala dalam meningkatkan pengeluaran domestik serta mempelbagaikan sumber import adalah kunci untuk memastikan bekalan protein negara kekal stabil dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
“Keselamatan makanan tidak boleh bergantung kepada satu sumber atau satu laluan perdagangan sahaja,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia perlu merangka strategi mitigasi jangka panjang bagi memastikan keterjaminan sumber protein negara.
“Antara langkah utama termasuk memperkukuh sektor akuakultur dan perikanan darat, mempelbagaikan sumber import khususnya dari negara Asia seperti Vietnam, Thailand, Indonesia, India dan China serta meningkatkan kecekapan rantaian sejuk domestik.
“Pengurusan stok ikan laut perlu diperkukuh melalui penguatkuasaan, zon pemulihan dan penggunaan teknologi pemantauan bagi memastikan kelestarian sumber,” katanya.
Date of Input: 14/04/2026 | Updated: 14/04/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA