Bakti Bolhassan Lihat Pelajar UPMKB Berjaya | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Bakti Bolhassan lihat pelajar UPMKB berjaya

Bakti Bolhassan lihat pelajar UPMKB berjaya

Article Summary
Pembantu Operasi Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMKB, Bolhassan Ahim, 58, ingin melihat semua pelajar-pelajar menggunakan kemudahan yang disediakan dengan selesa untuk mendapatkan ilmu dan mencapai cita-cita mereka.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Setiap pagi selama 23 tahun tanpa jemu demi anak-anak bangsa mendapatkan ilmu dengan mudah beliau akan sentiasa ada di sekitar dewan kuliah demi membantu memudahkan urusan pensyarah dan juga pelajar setiap hari.

 

Tidak pernah berkira dalam urusan mencari rezeki membuatkan dirinya amat disenangi oleh semua warga Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) kerana beliau akan sentiasa semangat untuk terus mencurah bakti kepada anak bangsa.

 

 

 

Pembantu Operasi Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMKB, Bolhassan Ahim, 58, ingin melihat semua pelajar-pelajar menggunakan kemudahan yang disediakan dengan selesa untuk mendapatkan ilmu dan mencapai cita-cita mereka.

"Kejayaan para pelajar dalam kehidupan masing-masing adalah satu kepuasan buat saya. Mereka semua selalu minta bantuan saya untuk menggunakan peralatan di dewan kuliah.

 

"Saya akan membantu mereka walaupun terpaksa bekerja hingga ke lewat malam. Sepanjang berkhidmat, warga UPMKB sudah menganggap saya sebagai bapa mereka kerana selalu ada apabila diperlukan.

"Namun, waktu saya sangat kurang di rumah. Setiap kali saya pulang ke rumah anak-anak pasti sudah tidur.

Bapa kepada tiga orang anak dan datuk 13 cucu ini bagaimpanapun bersyukur walaupun masa bersama keluarga kurang kerana bebanan tugas, anak-anak dan isteri sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk membantu memegang amanah ini.

 

 

Beliau yang berasal dari Kampung Jepak, Bintulu sebelum ini bertugas sebagai pegawai keselamatan di UPMKB. Pada tahun 2001, bermulalah perkhidmatannya sebagai Pembantu Operasi Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMKB.

Menurutnya, pada awal pembukaan dewan kuliah ini, beliau telah ditugaskan untuk membersihkan bangunan kuliah untuk digunakan oleh pelajar di UPMKB.

"Bayangkan saya diberikan satu baldi yang mempunyai pelbagai kunci pintu setiap kuliah. Saya perlu mengasingkan kunci tersebut mengikut pintu-pintu kuliah tersebut.

 

 

"Bukan itu sahaja, saya seorang diri mengemas 14 bilik kuliah untuk membuang debu dan mencuci bilik tersebut agar kuliah tersebut boleh digunakan dengan selesa oleh semua orang.

Beliau juga turut menceriakan sekitar dewan kuliah dengan menanam pelbagai pokok buah-buahan untuk dikongsikan kepada semua orang yang menggunakan dewan kuliah tersebut.

"Jika mereka nak makan buah mangga atau buah jambu air, saya izinkan kerana inilah cara saya bersedekah kepada warga UPMKB.

"Tetapi jika buah tersebut sudah dibalut dan mempunyai nama Bolhasaan mereka semua sudah tahu bahawa buah tersebut saya yang punya.

Date of Input: 01/11/2024 | Updated: 01/11/2024 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVOAH~