Agronomi Jadi Tonggak Keterjaminan Makanan Negara Dalam Era Perubahan Iklim | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Agronomi jadi tonggak keterjaminan makanan negara dalam era perubahan iklim

Agronomi jadi tonggak keterjaminan makanan negara dalam era perubahan iklim

Article Summary
Cabaran perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran dan kebergantungan kepada import makanan menjadikan bidang agronomi semakin penting dalam memastikan keterjaminan makanan negara.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

Cabaran perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran dan kebergantungan kepada import makanan menjadikan bidang agronomi semakin penting dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Hadi Akbar Basri, berkata agronomi bukan lagi sekadar ilmu berkaitan tanaman, sebaliknya menjadi pemacu utama kepada pengeluaran makanan yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.

 

“Ramai masih kurang mengenali bidang agronomi sedangkan hampir setiap makanan yang berada di atas meja kita bermula dengan keputusan agronomi yang tepat. Bermula dengan pengurusan tanah dan nutrien hinggalah penggunaan teknologi moden semuanya memainkan peranan dalam memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi,” katanya.

 

Tambah beliau, agronomi ialah cabang sains pertanian yang memberi tumpuan kepada pengurusan tanaman dan tanah bagi menghasilkan hasil yang optimum, berkualiti serta mampan. Bidang itu merangkumi aspek pengurusan nutrien, kesuburan tanah, air, kawalan perosak dan penggunaan teknologi pertanian.

 

“Dengan pertambahan populasi serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara, negara perlu menghasilkan lebih banyak makanan menggunakan sumber yang semakin terhad.

 

“Cabaran hari ini bukan sekadar meningkatkan hasil tanaman, tetapi bagaimana menghasilkan lebih banyak makanan menggunakan air, tanah dan baja secara lebih cekap tanpa menjejaskan alam sekitar. Di sinilah agronomi memainkan peranan yang sangat kritikal,” katanya.

 

Selain itu, penyelidikan agronomi membantu mengenal pasti amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan produktiviti tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.

 

Penyelidikan tersebut menghasilkan teknik pembajaan yang lebih tepat, selain membangunkan varieti tanaman yang lebih tahan terhadap kemarau, banjir, penyakit dan serangan perosak.

 

Dr Mohd Hadi berkata, perkembangan teknologi pertanian pintar kini mengubah landskap pengurusan ladang di negara ini.

 

“Penggunaan dron, sensor tanah, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan petani memantau keadaan tanaman secara masa nyata, meramal risiko penyakit serta menentukan keperluan pembajaan dan pengairan dengan lebih tepat. Ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah mengurangkan kos operasi dan pembaziran sumber,” katanya.

 

Mengulas persepsi bahawa pertanian hanya melibatkan kerja di kebun atau sawah, beliau berkata tanggapan itu sudah tidak lagi relevan.

 

“Agronomi hari ini ialah gabungan sains, teknologi dan inovasi. Graduan bukan sahaja boleh menjadi agronomis atau penyelidik, malah berpeluang menceburi bidang analitik data pertanian, teknologi dron, pertanian digital, perundingan serta keusahawanan agro yang semakin berkembang,” katanya.

 

Keperluan terhadap tenaga pakar agronomi dijangka terus meningkat selaras dengan usaha negara memperkukuh keterjaminan makanan dan memodenkan sektor pertanian.

 

Dr. Mohd Hadi berkata, keterjaminan makanan bukan hanya tanggungjawab petani semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak.

 

“Kita perlu menghargai makanan, mengurangkan pembaziran serta menyokong pembangunan sektor pertanian tempatan. Pada masa sama, pengiktirafan perlu diberikan kepada petani, penyelidik, industri dan semua pihak dalam rantaian bekalan makanan kerana tanpa mereka, sukar untuk kita menjamin bekalan makanan yang mencukupi bagi generasi akan datang,” katanya.

 

 

Date of Input: 10/07/2026 | Updated: 10/07/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZHKUAA~