UPM Sarawak Raikan Warisan Dan Perpaduan Di Majlis Konvokesyen Ke-4 | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » UPM Sarawak raikan warisan dan perpaduan di Majlis Konvokesyen ke-4

UPM Sarawak raikan warisan dan perpaduan di Majlis Konvokesyen ke-4

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin




BINTULU, 1 November – Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) ke-49 bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, tetapi turut menjadi pentas memperkukuh warisan budaya dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Majlis yang berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 November 2025 di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak, menyaksikan seramai 556 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing. Upacara penuh istiadat itu diserikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik, mencerminkan keindahan dan keharmonian seni tradisi tempatan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, berkata keunikan majlis kali ini bukan hanya pada pencapaian akademik pelajar, tetapi pada usaha universiti mengangkat kepelbagaian budaya yang menjadi asas perpaduan di kampus UPM Sarawak.

“Hari ini, hadirin menyaksikan pelbagai persembahan seperti tarian naga, tarian kipas, muzik tradisional Cina dan nyanyian lagu Dato’ Sri Siti Nurhaliza oleh pelajar berbangsa India. Ia melambangkan semangat kebersamaan dan penerimaan antara kaum yang subur di kampus ini,” katanya.




Menurut beliau, penghayatan terhadap seni dan budaya wajar diteruskan agar generasi muda memahami dan menghargai makna sebenar kepelbagaian sebagai kekuatan Malaysia.

“UPM Sarawak berjaya mengumpulkan pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk bergabung dalam satu persembahan yang mencerminkan keindahan budaya campuran. Inilah cerminan masyarakat majmuk sebenar, dan platform untuk mendidik generasi muda agar lebih terbuka serta menghormati perbezaan,” katanya.

Tambahnya lagi, latihan dan persembahan sepanjang majlis bukan sekadar ruang menonjolkan bakat pelajar, tetapi juga wadah memupuk perpaduan, kepimpinan dan semangat kerja berpasukan.




“Majlis ini bukan hanya untuk anak Sarawak, tetapi wadah memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia kepada masyarakat yang lebih luas. Ia juga membuktikan UPM Sarawak mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat berbilang kaum,” jelasnya.

Prof. Abd Rahim turut menegaskan bahawa UPM Sarawak kini berkembang sebagai universiti holistik yang bukan sahaja unggul dalam bidang pertanian dan perhutanan, tetapi turut menerapkan nilai insan bitara, patriotik dan berdaya saing.

“Saya berharap agar UPM Sarawak terus membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat universiti ini secara menyeluruh, bukan sekadar institusi akademik, tetapi medan melahirkan graduan berjiwa bangsa dan berjiwa masyarakat,” katanya.




Beliau turut mengingatkan bahawa setiap graduan UPM merupakan duta universiti dan negara yang membawa nilai ilmu, budaya dan jati diri bangsa.

“Teruskan perjuangan sama ada dalam dunia pekerjaan atau pengajian lanjutan dengan semangat berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” pesannya.

Majlis kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi konvokesyen pertama selepas penjenamaan rasmi UPM Kampus Bintulu kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak pada 30 Jun 2025.

Selepas lebih lima dekad bertapak di bumi Kenyalang, UPM Sarawak kini terus memperkukuh bidang kepakaran dan meneroka disiplin baharu sejajar dengan aspirasi Sarawak Maju 2030 dan hala tuju pembangunan negara berasaskan ilmu, inovasi dan kelestarian.

Date of Input: 02/11/2025 | Updated: 02/11/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLCVAw~