Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 6 Disember – Menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) sejak kecil tidak menghalang Brian Jude Lazaroo, untuk bergraduat Master Pengurusan Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2, hari ini.
Brian Jude, 36, berkata beliau memulakan pengajian pada tahun 2021 selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19. Keinginan untuk menyambung pelajaran tercetus kerana beliau merasakan sudah tiba masanya untuk kembali ke dunia akademik.
“Saya pernah berfikir bahawa saya tidak akan mampu menamatkan pengajian ini tetapi dengan sokongan keluarga dan UPM akhirnya saya berjaya,” katanya.
Beliau turut berkata cabaran beliau ketika melanjutkan pengajian antaranya kesukaran untuk fokus dan kekal duduk dalam tempoh yang lama, namun, beliau berjaya mencari kaedah untuk mengatasi kekangan ini dengan bantuan teknologi dan pendekatan tersendiri.
“Saya belajar perlahan-lahan dan membahagikan kerja kepada bahagian kecil. Masa belajar pula, saya memilih waktu di mana tiada gangguan pada waktu Tengah malam kerana itulah waktu terbaik untuk saya menyiapkan tesis,” katanya.
Beliau turut merancang jadual pengajian dengan teliti untuk mengurangkan tekanan dan memastikan setiap tugasan diselesaikan mengikut kemampuan.
Brian turut memuji UPM yang menyediakan sokongan menyeluruh untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk bantuan pembelajaran, sokongan emosi, dan kemudahan fizikal. Selain itu, komuniti pelajar OKU melalui platform WhatsApp juga membantu beliau mendapatkan motivasi dan semangat sepanjang pengajian.
“UPM benar-benar memberi sokongan yang saya perlukan, bukan sahaja untuk pembelajaran tetapi juga dalam menjaga keseimbangan emosi,” tambahnya.
Beliau kini merancang untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama di UPM.
“Ini hanyalah permulaan dan saya percaya perjalanan akademik saya masih Panjang dan saya ingin terus belajar serta memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Brian yang didiagnosis ADHD pada usia 22 tahun menyeru masyarakat agar lebih memahami gangguan ini. Menurutnya, stigma dan kurangnya kesedaran mengenai ADHD sering menyebabkan individu yang menghidapnya tidak mendapat sokongan sewajarnya.
“Saya harap masyarakat lebih peka dan segera mendapatkan diagnosis daripada pakar jika ada simptom-simptom ADHD. Sokongan daripada keluarga, rakan, dan komuniti sangat penting untuk membantu individu ADHD menguruskan cabaran mereka,” ujarnya.
Date of Input: 06/12/2024 | Updated: 06/12/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA