UPM Dan Al-Ikhsan Perkasa Pelajar Sekolah Dalam Bidang Perniagaan Sukan | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM dan Al-Ikhsan Perkasa Pelajar Sekolah dalam Bidang Perniagaan Sukan

UPM dan Al-Ikhsan Perkasa Pelajar Sekolah dalam Bidang Perniagaan Sukan



SERDANG, 26 Februari – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Al-Ikhsan Sports telah melancarkan program perantis bagi pelajar sekolah menengah, bertujuan memperkasa kemahiran dalam bidang perniagaan, pemasaran, dan pengurusan bakat sukan.

Pengarah Program, Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed, menjelaskan bahawa program ini membuka peluang kepada peserta untuk menerapkan teori ke dalam situasi dunia sebenar, khususnya dalam aspek pengurusan jenama dan strategi pemasaran dalam industri sukan.

"Kami percaya bahawa pendedahan industri sebegini amat penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga memiliki kemahiran praktikal serta daya saing di peringkat global.



"Gabungan pengalaman akademik dan latihan industri adalah kunci dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dalam sektor perniagaan sukan yang berkembang pesat," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Ali Hassan Mohd Hassan menyatakan program ini bukan sekadar platform latihan, tetapi satu inisiatif untuk membentuk minda keusahawanan dalam kalangan generasi muda.

"Saya menasihatkan pelajar supaya mula meneroka bidang keusahawanan dan perniagaan dari usia muda. Program seperti ini memberikan mereka peluang memahami strategi pemasaran, pengurusan operasi, serta membina jaringan profesional yang berguna untuk masa depan," jelasnya.

Bagi pelajar SMK Puteri Seremban, Sharveena Siva Raja, 16, penyertaannya dalam program ini memberi pengalaman berharga dalam memahami bagaimana industri sukan beroperasi dalam dunia perniagaan.

"Saya sangat teruja kerana dapat belajar bagaimana jenama sukan berkembang dan teknik pemasaran yang berkesan," katanya.

Sepanjang program ini, peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek pemasaran, penjenamaan, dan pengurusan perniagaan sukan, selain mendapat pengalaman langsung mengenai operasi syarikat dalam industri sukan yang kompetitif.

Date of Input: 27/02/2025 | Updated: 27/02/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCcAAK~