SERDANG, 18 Januari - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pertanian (FP) telah menganjurkan Program “Muddy Adventure” beri pengalaman kepada 40 peserta cara-cara penanaman padi secara tradisional bulan lalu sempena program cuti sekolah.
Menariknya, peserta dapat merasai sendiri pengalaman menanam padi sambil bermain lumpur dan mengenali asal usul beras yang ditanam disawah padi.
Program sehari itu diadakan di Ladang 10 UPM disertai kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun, memberi pendedahan awal kanak-kanak kepada dunia pertanian melalui aktiviti menarik semasa cuti sekolah.
Pensyarah dan juga pengajar bersama kursus ini iaitu Dr. Nur Bahiah Mohamed Haris berkata program ini merupakan salah satu platform bagi pelajar untuk mengaplikasi ilmu pertanian yang dipelajari secara teknikal di dalam kelas kepada peserta iaitu kanak-kanak dengan cara penyampaian yang lebih santai tetapi dalam masa yang sama berfaedah dan kreatif.
Program ini turut dijayakan oleh kumpulan pelajar kursus Taman Pertanian Rekreasi (TKP3301) Semester Pertama 2024/2025 diadakan untuk memanfaatkan cuti sekolah dengan aktiviti berasaskan pertanian berupaya memupuk minat terhadap pertanian sejak dari usia muda.
Pengarah program, Hana Damia, 23, berkata program ini menyediakan peluang kepada para peserta untuk merasai sendiri berada di ladang yang dilengkapi sawah padi serta mengenali kelulut, sesuatu yang jarang ditemui di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.
Antara aktiviti lain yang dijalankan “Fruitastic Exploration,” yang bertujuan memupuk minat kanak-kanak terhadap pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti rambutan, buah naga, belimbing, mempelajari lebih lanjut tentang lebah madu kelulut dan peranan pentingnya dalam ekosistem serta kreativiti mengecat pasu sebelum tanaman hijau.
Date of Input: 12/02/2025 | Updated: 12/02/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA