Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad
Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 25 Jun- Demonstrasi inovatif menghasilkan Nougat Bunga Telang sempena Kursus Pertanian Bandar: Solusi Keterjaminan Makanan dan Inovasi Produk Hiliran mencuri tumpuan peserta, khususnya dalam kalangan wanita yang teruja dengan kelainan idea berasaskan tanaman bunga telang.
Dihasilkan oleh dua pelajar Bacelor Sains Pertanian, Fatin Nabihah Rasib dan Nur Atikah Ismail, produk ini merupakan sebahagian tugasan subjek Crop Production Semester 3 yang menuntut pelajar mencipta inovasi berasaskan tanaman terpilih.
Antara bahan utama yang digunakan termasuk biskut, mentega, marshmallow, susu tepung, campuran buah dan kacang, serta ekstrak bunga telang menghasilkan manisan mirip kek batik yang sesuai dinikmati oleh semua peringkat umur.
Pengarah Projek, Puan Mahani Amat @ Halimi berkata idea tersebut bukan sahaja menarik dari segi visual malah menampilkan nilai tambah dari aspek kesihatan.
“Bunga telang bukan sekadar pewarna semula jadi, malah mengandungi khasiat seperti anti-penuaan dan membantu mengurangkan tekanan. Ini menjadikannya sesuai dikomersialkan dalam bentuk manisan moden yang sihat dan menarik,” katanya.
Fatin Nabihah berkata mereka memilih bunga telang kerana tanaman itu menjadi fokus utama projek selain popular dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Kami fikir, kenapa tidak hasilkan sesuatu yang boleh dinikmati semua golongan? Selain cantik dan berwarna semula jadi, bunga telang ada manfaat kesihatan, jadi kami olah jadi manisan moden,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Atikah berkata penyediaan nougat tersebut hanya mengambil masa sekitar 15 minit dan sesuai dijadikan idea pencuci mulut atau cenderamata.
“Resipi ini mudah, tapi ada nilai komersial. Ramai yang berminat sebab bentuknya macam kek batik tapi ada sentuhan unik bunga telang,” katanya.
Selaras dengan Kursus Pertanian Bandar, bunga telang merupakan antara tanaman yang mudah diurus dan sesuai diaplikasikan dalam ruang terhad menjadikannya pilihan tepat untuk menyokong keterjaminan makanan secara lestari di kampus dan komuniti.
Date of Input: 26/06/2025 | Updated: 26/06/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA