SERDANG, 20 Dis – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Karnival Ban Canal 2024 dan melawat Klinik Bergerak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM, baru-baru ini.
Baginda kemudian mendengar taklimat mengenai pengoperasian secara keseluruhannya daripada Doktor Kesihatan Awam dan Pekerjaan, HSAAS, UPM, Dr. Muhammad Zaid Abu Bakar.
Tengku Amir Shah menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif ini yang bertujuan memberikan akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti dan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Saipolyazan M. Yusop dan Timbalan Pendaftar Kanan, HSAAS, UPM, Mohd Aris Fadzilah Abdullah.
Selain itu, program anjuran Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Tourism Malaysia dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dengan kerjasama HSAAS, UPM bertujuan untuk memfokuskan kepada pelestarian sumber air dan kepentingan Ban Canal sebagai salah satu kekayaan biodiversiti di Sabak Bernam.
Ban Canal memainkan peranan penting dalam sistem pengairan pertanian di kawasan tersebut dan merupakan sebahagian daripada Rizab Biosfera UNESCO (UBR), yang berfungsi untuk melindungi biodiversiti, meningkatkan aktiviti sosio-ekonomi berasaskan sumber asli, dan menyokong perikanan serta akuakultur.
Sementara itu, antara aktiviti dijalankan pada program itu adalah pemeriksaan kesihatan percuma, perkhidmatan klinik bergerak, ceramah dan pameran kesihatan, perubatan rehabilitasi dan demonstrasi Basic Life Support (BLS).
Dalam pada itu, selain aktif dalam Program Jangkauan Komuniti, HSAAS, UPM turut berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Klinikal yang menawarkan khidmat rawatan lanjut, penyelidikan dan pendidikan empat bidang nic utama iaitu Regional Emergency Stroke Quick Response (RESQ), Prostate Care Center, Advanced Geriatrik Care AGILE dan Putra Zoonotics.
Date of Input: 24/12/2024 | Updated: 24/12/2024 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA