Dominasi Kuih Raya Moden, Pudarkan Kuih Tradisi | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Dominasi kuih raya moden, pudarkan kuih tradisi

Dominasi kuih raya moden, pudarkan kuih tradisi

Article Summary
Dahulu, kuih raya tradisional seperti batang buruk, semperit, dan makmur menjadi kebanggaan setiap rumah. Kini, telah digantikan dengan tart berkeju dan biskut inspirasi Timur Tengah yang semakin mendominasi meja Aidilfitri. Perubahan ini bukan sekadar trend, tetapi mencerminkan bagaimana globalisasi dan perubahan gaya hidup telah mengubah selera masyarakat.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad
Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM

 

 

 

Dahulu, kuih raya tradisional seperti batang buruk, semperit, dan makmur menjadi kebanggaan setiap rumah. Kini, telah digantikan dengan tart berkeju dan biskut inspirasi Timur Tengah yang semakin mendominasi meja Aidilfitri. Perubahan ini bukan sekadar trend, tetapi mencerminkan bagaimana globalisasi dan perubahan gaya hidup telah mengubah selera masyarakat.

 

Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin berkata kuih moden seperti Tart Cadbury dan Cornflakes Madu semakin mendapat tempat, manakala kuih tradisional seperti biskut dam dan agar-agar kering pula kian dilupakan. Walaupun inovasi ini mencerminkan kreativiti dalam dunia kulinari, namun mengancam warisan makanan tradisional jika tiada usaha pemeliharaan dilakukan.

Beliau juga menjelaskan bahawa perubahan trend kuih raya moden tidak dapat dielakkan akibat pengaruh globalisasi, media sosial dan faktor ekonomi.

 

"Bahan premium seperti keju dan coklat kini lebih mudah didapati, sementara gaya hidup moden mendorong permintaan kuih yang cepat disediakan dan menarik perhatian. Kuih tradisional yang memerlukan masa dan ketelitian semakin kurang digemari generasi muda yang lebih memilih sesuatu yang unik dan ‘Instagram-worthy’," katanya.

 

Dr. Muhammad Rezza menegaskan bahawa perubahan ini bukan bermakna kuih tradisional semakin dilupakan, tetapi lebih kepada perubahan selera dan keperluan pasaran.

 

"Kuih moden yang lebih menarik dari segi visual dan rasa memberi kelebihan dari sudut pemasaran. Namun, tanpa usaha memartabatkan kuih tradisional, generasi akan datang mungkin tidak lagi mengenali kuih seperti biskut dam atau agar-agar kering," jelasnya.

 

Beliau turut menekankan kepentingan mendokumentasikan resipi dan teknik pembuatan kuih tradisional agar warisan kulinari ini tidak lenyap.

 

 

"Jika inovasi dilakukan tanpa asas tradisional, kuih raya hanya akan menjadi produk komersial tanpa nilai sejarah. Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan bagi mengekalkan identiti kuih raya dalam dunia moden," tambahnya.

 

Untuk memastikan kuih tradisional kekal relevan, Dr. Muhammad Rezza mencadangkan pendekatan yang lebih dekat dengan gaya hidup generasi muda.

 

"Kita boleh mengadakan bengkel interaktif, menghasilkan kandungan media sosial yang memaparkan sejarah kuih tradisional, dan menampilkan elemen baharu tanpa mengubah keasliannya," katanya.

 

"Platform digital seperti TikTok, Instagram, dan YouTube boleh digunakan untuk menghidupkan semula resipi warisan dalam bentuk yang lebih menarik dan interaktif," tambahnya.

 

Dr. Muhammad Rezza berharap agar kuih raya terus berkembang tanpa mengorbankan identiti asalnya.

 

"Konsep ‘rebranding’ boleh digunakan, seperti membungkus kuih tradisional dalam pek khas yang menceritakan sejarahnya atau memperkenalkan versi ‘fusion’ seperti tart nenas berperisa pandan," jelasnya.

 

Menurut beliau, keseimbangan antara inovasi dan pemeliharaan warisan memerlukan usaha kolektif daripada pelbagai pihak, termasuk peniaga, institusi pendidikan, dan media.

 

"Inovasi itu penting, tetapi harus ada batasan agar keunikan kuih raya tidak lenyap. Jika kita tidak bertindak sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti kuih raya tradisional hanya tinggal dalam buku sejarah. Sudah tiba masanya untuk kita mengimbangi inovasi dan warisan, agar generasi akan datang merasai raya yang sebenar," katanya.

Date of Input: 17/03/2025 | Updated: 17/03/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDVCAN~