Tren Sahur Moden: Sahur 'Meal Prep' Untuk Gaya Hidup Sibuk | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Tren Sahur Moden: Sahur 'Meal Prep' untuk Gaya Hidup Sibuk

Tren Sahur Moden: Sahur 'Meal Prep' untuk Gaya Hidup Sibuk

Article Summary
Setiap kali Ramadan menjelang tiba, cabaran utama yang sering dibincangkan adalah kesukaran untuk bangun sahur, terutamanya bagi individu yang sibuk dan menetap di kawasan bandar.


Oleh: Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin, Fakulti Sains & Teknologi Makanan

 

 

 

 

Setiap kali Ramadan menjelang tiba, cabaran utama yang sering dibincangkan adalah kesukaran untuk bangun sahur, terutamanya bagi individu yang sibuk dan menetap di kawasan bandar.

 

Gaya hidup moden yang serba pantas menyebabkan ramai mengabaikan kepentingan sahur atau sekadar mengambil makanan segera dan minuman manis yang kurang berkhasiat. Kesannya, mereka mudah berasa letih, lesu, dan kurang fokus sepanjang hari berpuasa.

 

Namun, terdapat satu solusi praktikal yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat urban—iaitu meal prepping’ atau penyediaan makanan lebih awal.

 

Konsep ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga memastikan makanan sahur lebih seimbang, sihat, dan mudah disediakan. Dengan sedikit perancangan, kita dapat menikmati hidangan sahur yang lengkap tanpa perlu tergesa-gesa di waktu dinihari.

 

Konsep 'meal prepping' sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Ia telah diamalkan secara meluas di negara-negara maju sebagai kaedah untuk menjimatkan masa dan kos dalam penyediaan makanan harian.

 

Dalam konteks Malaysia, konsep ini semakin relevan berikutan peningkatan kos sara hidup serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemakanan sihat.

 

Menurut Laporan Statistik Harga Barang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), harga barang keperluan asas seperti beras, ayam, dan sayur-sayuran menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

 

 

Selain itu, laporan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (SWCorp) menunjukkan bahawa Malaysia membuang hampir 17,000 tan sisa makanan setiap hari, di mana 60% daripadanya masih boleh dimakan.

 

Ramadan pula sering dikaitkan dengan pembaziran makanan yang lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

 

Dengan mengamalkan ‘meal prepping’, bukan sahaja kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur, malah dapat mengelakkan pembaziran makanan yang sering berlaku akibat lebihan makanan sahur dan berbuka.

 

Salah satu kebimbangan utama dalam penyediaan awal makanan adalah kemungkinan kehilangan nutrisi akibat penyimpanan dan pemanasan berulang.

 

Bagi memastikan makanan sahur kekal berkhasiat, beberapa kaedah penyimpanan boleh diamalkan. Pertama, penggunaan bekas bertutup kedap udara adalah penting kerana ia membantu mengekalkan kesegaran makanan dan mengelakkan pencemaran bau daripada makanan lain di dalam peti sejuk.

 

Kedua, setiap makanan yang disediakan lebih awal perlu dilabel dengan tarikh penyediaan untuk memastikan ia dimakan dalam tempoh yang sesuai.

 

 

Akhir sekali, pemanasan makanan dengan kaedah yang betul, seperti menggunakan ketuhar gelombang mikro dengan mod 'reheat' atau teknik 'steam', dapat membantu mengekalkan kelembapan makanan dan mengurangkan kehilangan nutrien.

 

Dengan mengamalkan teknik penyimpanan dan pemanasan yang tepat, kualiti serta khasiat makanan sahur yang disediakan lebih awal dapat dipelihara.

 

Bagi individu yang benar-benar kesuntukan masa, menu sahur yang mudah disediakan namun tetap berkhasiat adalah pilihan terbaik. Berikut adalah beberapa cadangan menu sahur yang sesuai untuk mereka yang memerlukan penyediaan pantas.

 

Pertama, 'overnight oats' yang terdiri daripada oat segera direndam bersama susu segar atau susu tumbuhan, dicampur dengan buah-buahan seperti pisang atau beri biru serta sedikit madu.

 

Ianya hanya perlu disimpan dalam peti sejuk dan terus dimakan pada waktu sahur tanpa perlu dipanaskan. Kedua, 'wrap' telur dan ayam yang menggabungkan telur dadar bersama kepingan ayam panggang, salad, dan keju.

 

Ia boleh disediakan lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk; ketika sahur, hanya perlu dipanaskan sebentar sebelum dimakan. Ketiga, bubur nasi segera di mana nasi yang telah dimasak dibahagikan kepada beberapa bahagian kecil dan disimpan dalam peti sejuk.

 

Ketika sahur, ianya perlu dicampurkan dengan air panas dan ditambah dengan ayam carik, ikan bilis, lobak masin atau telur rebus untuk memberikan rasa yang lebih enak.

 

Dalam konteks Malaysia hari ini, ramadan sering dikaitkan dengan peningkatan pembaziran makanan kerana lebihan makanan yang tidak dihabiskan semasa sahur dan berbuka.

 

Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai peningkatan kadar obesiti dan penyakit lain yang berkaitan pemakanan dikalangan rakyat Malaysia. Kebiasaan mengambil makanan segera atau makanan bergoreng semasa sahur boleh menyumbang kepada masalah ini. Oleh itu, 'meal prepping' menawarkan alternatif yang lebih praktikal, mudah dan sihat.

 

Dengan mengamalkan 'meal prepping' untuk sahur, bukan sahaja kita dapat menjimatkan masa, tetapi juga membantu mengurangkan pembaziran makanan.

 

Lebih penting lagi, konsep ini menyediakan penyelesaian kepada masalah pemakanan yang tidak seimbang semasa sahur, yang sering diabaikan oleh mereka yang bergantung kepada makanan segera atau pilihan yang kurang berkhasiat.

 

Selain itu, 'meal prepping' juga menyokong amalan pemakanan sihat dengan memastikan setiap hidangan sahur mengandungi nutrien penting seperti protin, serat, dan lemak sihat. Ini penting untuk memastikan individu kekal bertenaga sepanjang hari berpuasa.

 

Sebagai kesimpulan, sahur merupakan waktu makan yang penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari berpuasa, dan konsep 'meal prepping' adalah pendekatan moden yang praktikal dalam memastikan sahur lebih efisien dan berkhasiat.

 

Dengan sedikit perancangan, individu yang sibuk masih boleh menikmati sahur yang lengkap tanpa perlu bersusah payah menyediakan makanan pada waktu awal pagi.

 

Selain daripada itu, ia adalah langkah kecil yang boleh membantu menangani isu pembaziran makanan dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemakanan seimbang semasa Ramadan. Jadi, sudah bersediakah anda untuk mencuba tren sahur moden ini?

Date of Input: 24/02/2025 | Updated: 24/02/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCZTAY~