Tips Berpuasa Ketika Hamil | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Tips berpuasa ketika hamil

Tips berpuasa ketika hamil

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 

Oleh Dr. Amilia Afzan Mohd Jamil

Bulan Ramadhan akan membuka tirainya tidak lama lagi. Bulan yang penuh barakah, dan bersamanya didatangkan kewajipan berpuasa ini, pasti ditunggu-tunggu oleh seluruh penganut agama Islam.

Terdapat beberapa golongan istimewa yang diberikan keringanan oleh Allah swt untuk tidak berpuasa, antaranya ialah wanita hamil dan yang meyusukan anak.

Walau bagaimamapun, 70% wanita hamil memilih untuk melaksanakan ibadah ini, kerana ingin mengejar barakah bulan Ramadhan dan mungkin kerana memikirkan kesukaran untuk menggantikan puasa pada bulan lain.

Kebanyakan ulama Islam berpendapat wanita hamil patut berpuasa sekiranya kesihatan mereka mengizinkan.

Dari sudut perubatan, berpuasa secara keseluruhannya dibolehkan dan selamat untuk wanita hamil dan bayi. Walau bagaimanapun, ada sebabnya Allah swt memberikan keringanan untuk ibu hamil dari berpuasa .

Perlu diketahui, paras kandungan gula dalam darah wanita hamil ketika berpuasa adalah lebih rendah berbanding wanita yang tidak hamil kerana darah ibu perlu sentiasa membekalkan gula glukos kepada bayi.  

Ini menyebabkan ibu hamil lebih cepat letih dan merasa loya dan muntah-muntah terutama di awal usia kehamilan. Di samping itu, kekurangan air atau dehidrasi juga menambahkan risiko wanita hamil untuk mendapat darah beku (venous thromboembolism), kerana kepekatan darah adalah lebih tinggi semasa hamil.

Justeru ketahanan wanita hamil untuk berpuasa bergantung kepada tempoh kehamilan, faktor kesihatan wanita tersebut sewaktu hamil, tempoh waktu berpuasa dan keadaan cuaca ketika bulan ramadhan.

Wanita hamil tidak dinasihatkan untuk berpuasa pada tiga bulan pertama sekiranya mengalami gejala kehamilan yang serius, seperti muntah-muntah, kurang selera makan , kepenatan atau rasa pening dan pitam.

Selain itu, wanita hamil yang mempunyai masalah kesihatan perlu mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin berpuasa.  Dos dan waktu pengambilan ubat tertentu mungkin perlu diubah agar sesuai dengan waktu sahur dan berbuka.

Wanita hamil yang menghidapi kencing manis perlu memantau paras gula mereka sebelum dan selepas sahur, pada waktu tengahari, selepas berbuka dan sebelum tidur.

Mereka hendaklah segera berbuka sekiranya bacaan gula rendah atau mengalami tanda-tanda kurang gula dalam darah (hypoglycaemia), iaitu rasa berdebar-debar, menggigil dan berpeluh,loya dan muntah-muntah.

Walau bagaimanapun, wanita hamil yang menghidap masalah kencing manis memerlukan insulin dos tinggi, masalah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, anemia yang serius, turun berat badan secara mendadak, mempunyai risiko tinggi untuk medapat darah beku, dan masalah ulser perut atau gastrik tidak dinasihatkan untuk berpuasa bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Wanita yang hamil selepas 28 minggu juga perlu mamantau pergerakan bayi sewaktu berpuasa. Sekiranya pergerakan bayi berkurangan, mereka perlu segera berbuka dan terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tidak banyak kajian perubatan berpiawaian tinggi yang mengkaji kesan berpuasa terhadap kesihatan ibu hamil dan bayi.  

Beberapa kajian berkualiti sederhana menunjukkan tiada kesan dalam pembesaran janin wanita hamil yang berpuasa. Satu kajian yang hanya menggunakan maklumat banci dari luar negara pula mendapati anak dari ibu yang berpuasa pada tiga bulan pertama kehamilan dan di musim panas yang waktu siangnya lebih panjang mempunyai berat badan yang lebih rendah serta berisiko untuk mendapat masalah pembelajaran.

Walau bagaimanapun, kajian ini bukan kajian yang berpiawai tinggi kerana dibuat berdasarkan andaian semua ibu hamil yang beragama islam berpuasa, serta tidak menimbang faktor-faktor lain yang juga boleh menyumbang kepada masalah pembelajaran dan kekurangan berat badan.

Wanita hamil dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan sihat sewaktu bersahur dan berbuka, dengan pengambilan protein untuk pembesaran bayi, serat dan sayur-sayuran.

Mereka juga dinasihatkan untuk mengambil makanan yang boleh memberikan tenaga yang beransur-ansur seperti kurma sewaktu berbuka.

Adalah tidak digalakkan untuk ibu hamil makan dalam jumlah yang banyak sewaktu berbuka. Ini  kerana rahim yang membesar menolak perut ibu dari bawah dan meyebabkan ibu hamil merasa pedih hulu hati dan memuntahkan kembali makanan yang dimakan.

Sekiranya mempunyai masalah ini, adalah dinasihatkan untuk makan sedikit-sedikit tetapi lebih kerap untuk mendapat kalori yang cukup. Yang paling utama, wanita hamil perlu minum air yang banyak , kira-kira 1.5 hingga 2 liter ( 8 hingga 10 gelas sehari) dan elakkan dari makanan dan minuman yang mengandungi paras gula yang tinggi.

Wanita hamil yang berpuasa juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari melakukan kerja-kerja berat dan aktiviti yang lasak, serta berada di tempat panas dalam jangkamasa yang lama untuk mengelakkan dehidrasi.

Sekiranya masih kurang pasti sama ada boleh berpuasa atau tidak, dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Wanita hamil juga boleh mencuba untuk berpuasa selama satu atau dua hari untuk melihat ketahanan diri.

Yang penting, tidak perlu memaksa diri untuk berpuasa sekiranya tidak mampu. Puasa Ramadhan mempunyai seribu satu kebaikan bagi umatnya, namun Allah swt tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Berpuasa atau tidak, wanita hamil hendaklah sentiasa menitik beratkan kesihatan demi kebaikan diri dan anak dalam kandungan. Selamat menyambut bulan Ramadhan.

Dr. Amilia Afzan Mohd Jamil

Pensyarah dan Pakar Obstetrik & Ginekologi

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Date of Input: 23/10/2019 | Updated: 23/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLWAAg~