Teknik Cantuman Mata Tunas, Hasil Buah Tulen Dan Cepat Berbuah | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Teknik Cantuman Mata Tunas, Hasil Buah Tulen dan Cepat Berbuah

Teknik Cantuman Mata Tunas, Hasil Buah Tulen dan Cepat Berbuah

Article Summary
Teknik cantuman mata tunas adalah salah satu kaedah pembiakan tampang yang sering digunakan dalam pembiakan pokok buah-buahan bagi menghasilkan anak pokok yang berkualiti tinggi.


 

 

 

 

 

 

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

Teknik cantuman mata tunas adalah salah satu kaedah pembiakan tampang yang sering digunakan dalam pembiakan pokok buah-buahan bagi menghasilkan anak pokok yang berkualiti tinggi. Kaedah ini amat sesuai bagi pokok yang mempunyai sistem akar tunjang kerana struktur akar yang stabil dan kukuh memudahkan proses cantuman serta menyokong pertumbuhan anak pokok selepas proses tersebut.

 

Pembiakan tanaman seperti durian, mangga dan rambutan sangat sesuai menggunakan teknik ini kerana ia mampu mempercepatkan tempoh berbuah serta mengekalkan kualiti varieti induk. Walau bagaimanapun, teknik ini memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi kerana sebarang kesilapan boleh menyebabkan kegagalan cantuman dan pertumbuhan yang tidak sempurna.



Perbezaan Antara Cantuman Mata Tunas dan Pembiakan Melalui Biji Benih

 

Cantuman mata tunas mempunyai kelebihan yang ketara berbanding pembiakan melalui biji benih kerana setiap teknik menghasilkan ciri pokok yang berlainan. 

 

Penolong Pegawai Pertanian, Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Rosman Jamaludin, menjelaskan bahawa isu ketiadaan hasil sering timbul apabila pengguna menanam pokok durian melalui biji benih.

 

“Pokok dari biji benih mengambil masa yang lama untuk berbuah dan apabila berbuah, kualiti buahnya mungkin berbeza dan tidak menyerupai pokok induk.

 

“Selain itu, anak pokok yang dihasilkan melalui teknik cantuman mata tunas akan mewarisi sepenuhnya ciri-ciri pokok induk seperti rasa, saiz, warna dan aroma buah. 

 

“Ini kerana kaedah ini melibatkan penyambungan secara langsung antara mata tunas dari pokok induk ke batang pokok penanti, sekali gus memastikan ketulenan varieti yang dibiakkan,” ujarnya.

 

Durian Raja Kunyit atau Musang King, yang juga dikenali sebagai klon D197, biasanya dibiakkan melalui kaedah cantuman mata tunas kerana mampu menghasilkan anak pokok tulen dalam jumlah yang banyak tanpa menjejaskan kualiti pertumbuhan pokok induk.

 

Kelebihan Cantuman Mata Tunas

 

Menurut Mohd. Rosman, kaedah ini boleh menghasilkan anak pokok yang 80 hingga 90 peratus menyerupai pokok asal dari segi ciri genetik, termasuk kualiti, saiz dan rasa buah.

 

“Proses ini melibatkan pemindahan mata tunas dari pokok induk ke pokok penanti yang sesuai bagi memastikan tunas tersebut dapat tumbuh dengan baik serta mengekalkan ciri-ciri unggul pokok induk,” katanya.

 

Selain menjamin hasil berkualiti, teknik ini juga mempercepatkan tempoh berbuah berbanding tanaman melalui biji benih yang lazimnya mengambil masa lebih lama dan menghasilkan buah yang tidak seragam daripada segi kualiti.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Cabaran Proses Cantuman Mata Tunas

 

Cabaran utama dalam cantuman mata tunas ialah keperluan kemahiran khusus serta faktor persekitaran yang sesuai. Keperluan kemahiran yang tinggi amatlah penting kerana teknik ini memerlukan ketelitian dan pengalaman untuk memastikan kejayaan cantuman.

 

Menurut Mohd. Rosman, kekurangan tenaga kerja yang mahir dalam teknik cantuman merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi dalam industri pembiakan pokok buah-buahan.

 

“Apabila bilangan tenaga kerja mahir semakin berkurangan, kadar kejayaan cantuman turut menurun, sekaligus mengurangkan pengeluaran anak pokok berkualiti,” jelasnya. 

 

Faktor cuaca juga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan teknik cantuman mata tunas. Proses cantuman disarankan dilakukan pada awal pagi atau lewat petang, ketika suhu lebih rendah dan kelembapan tinggi bagi mengelakkan dehidrasi pada mata tunas.

 

Beliau menjelaskan bahawa cuaca panas terik boleh memberi kesan negatif dengan menyebabkan mata tunas cepat kering dan meningkatkan risiko kegagalan cantuman. Penggunaan pencahayaan terkawal sekitar 50% juga penting bagi meningkatkan kadar kejayaan dan pertumbuhan mata tunas.

 

Manfaat kepada Petani

 

Teknik cantuman mata tunas bukan sahaja membantu petani dari sudut hasil tanaman, malah turut memberikan impak besar terhadap kualiti buah, kebolehpasaran dan pengurusan ladang secara keseluruhan.

 

Menurut Mohd Rosman, selain daripada kaedah cantuman mata tunas itu sendiri, kualiti buah juga sangat bergantung kepada cara penyelenggaraan pokok oleh petani.

 

“Jika pengusaha ingin menanam pokok durian varieti Raja Kunyit atau Musang King, mereka disarankan untuk mendapatkan anak pokok yang tulen dan telah disahkan bagi memastikan klon ditanam benar-benar menepati ciri-ciri diingini pasaran.

 

“Dari segi pengurusan ladang pula, petani perlu lebih berhati-hati dalam membeli anak pokok kerana jika tersalah memilih, mereka mungkin menanam klon yang tidak tepat,” ujarnya.

 

Anak pokok yang tidak disahkan berisiko menghasilkan buah berkualiti rendah, seterusnya menjejaskan kepercayaan pembeli dan reputasi pengusaha.

 

Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Pertanian Putra (PPP) merupakan antara institusi yang menghasilkan anak pokok mengikut piawaian dan standard industri. PPP tersenarai di tempat ketiga di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) bagi negeri Selangor yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Malaysia dengan nombor pendaftaran N(B)3. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen UPM dalam menyokong pembangunan sektor pertanian melalui penyediaan bahan tanaman sah, berkualiti tinggi dan diyakini.



Dalam pada itu, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen UPM dalam menyokong pembangunan sektor pertanian melalui penyediaan bahan tanaman yang berkualiti, sah dan diyakini.



Date of Input: 31/07/2025 | Updated: 31/07/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIDAAT~