Inisiatif Putra Cakna Dorong Vaksinasi Demi Kesejahteraan Warga UPM | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Inisiatif Putra Cakna dorong vaksinasi demi kesejahteraan warga UPM

Inisiatif Putra Cakna dorong vaksinasi demi kesejahteraan warga UPM

Article Summary
“Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia telah mengambil satu langkah yang pro-aktif dengan membuka pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 kepada staf dan juga ahli keluarga yang layak bagi membantu universiti mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan warga UPM”.


Penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada kelangsungan hidup, keselamatan dan kesihatan dalam kalangan warga Universiti Putra Malaysia. Kawalan pergerakan dan limitasi yang dikuatkuasa dalam beberapa perkara yang melibatkan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan staf dan pelajar telah dilaksanakan. Hal ini bertujuan untuk membendung perebakan wabak dan menjaga kesihatan warga kampus Hijau. Namun usaha ini selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terkini Pelan Pemulihan Negara Majlis Keselamatan Negara.

Warga UPM seharusnya memahami bahawa penyebaran Virus COVID-19 adalah sangat berbahaya. Hal ini terbukti apabila  sehingga 24 Ogos 2021 sebanyak 1,593,602 kes kumulatif telah dicatatkan di seluruh negara. Pada tahun 2020, WHO juga telah menetapkan bahawa wabak COVID-19 ini adalah pandemik global. Justeru, selain pematuhan SOP yang ketat seperti mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan dan menggunakan pelitup muka; Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga telah dilancarkan bagi mengekang wabak ini.

Program ini diharap dapat membentuk imuniti kelompok (herd immunity) bagi rakyat Malaysia dalam usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran virus COVID-19. Imuniti kelompok dapat disimpulkan sebagai perlindungan daripada penyakit berjangkit yang terbentuk apabila sebahagian besar kelompok masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada jangkitan penyakit tersebut.

Situasi COVID-19 di negara ini dilihat semakin meruncing dari hari ke hari. Beberapa masalah dan kekangan telah mengheret kita ke tahap yang semakin serius ketika ini. Satu-satunya harapan kita untuk kembali kepada tahap wabak yang terkawal adalah melalui program vaksinasi yang cekap diurus yang akan mempercepat  kadar pelaksanaannya. Jumlah pemberian vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 31,792,363 Dos dan jumlah individu yang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 adalah seramai 22,958,829 orang setakat 23 Ogos 2021.

Sehubungan dengan itu, semua warga UPM samada staf dan pelajar yang layak diberikan suntikan vaksin COVID-19 perlulah cakna vaksinasi iaitu mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin masing-masing. Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia telah mengambil satu langkah yang pro-aktif dengan membuka pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 kepada staf dan juga ahli keluarga yang layak bagi membantu universiti mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan warga UPM.

Vaksinasi itu amat penting untuk semua warga UPM bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus staf dan pelajar di UPM menerima vaksin. Hal ini adalah penting bagi melindungi golongan yang rentan iaitu mereka yang mudah dijangkiti penyakit disebabkan sistem atau fungsi tubuh yang rendah atau menurun dalam kalangan warga UPM atau ahli keluarga seperti kanak-kanak, orang tua, pesakit kanser, pesakit asma dan pesakit penyakit kritikal. Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini dalam kalangan warga UPM dan ahli keluarga juga. Melalui cakna vaksinasi ini, adalah diharapkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di UPM ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

Oleh demikian, marilah kita semua warga UPM memainkan peranan masing-masing, dengan mematuhi langkah-langkah kesihatan awam dan pastikan kita mendorong serta memberi kesedaran kepada rakan-rakan sekerja, ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling kita mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin. Pihak Pengurusan Universiti akan terus memberi kesedaran kepada warga UPM tentang kepentingan vaksin dan membetulkan salah tanggapan terhadap vaksin ini agar cakna vaksinasi ini berjaya dan mencapai imuniti kelompok di UPM.

 

BUKRYMAN SABRI
Felo Bersekutu (Perhubungan dan Kebajikan)
Pejabat Naib Canselor UPM

Date of Input: 12/11/2021 | Updated: 12/11/2021 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVXAC~