Dua Anak Penoreh Getah Kini Bergelar Profesor | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Dua anak penoreh getah kini bergelar profesor

Dua anak penoreh getah kini bergelar profesor

Article Summary
Dua anak penoreh getah kini bergelar profesor berkat bekerjasama sesama adik beradik di Universiti Putra Malaysia (UPM).


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Izrul Abdul Jabar 
 
 
 
Dua anak penoreh getah kini bergelar profesor berkat bekerjasama sesama adik beradik di Universiti Putra Malaysia (UPM).
 
Pensyarah Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Prof. Dr. Soh Kim Geok anak bongsu daripada lima adik beradik yang berasal dari Terengganu ini adalah insan pertama dalam keluarganya yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan membantu kakaknya untuk turut mempunyai ijazah dan bekerja di UPM sehingga kini.
 
Air dicincang tidak akan putus, begitulah perhubungan antara adik beradik ini yang dilihat sangat akrab dan saling bekerjasama antara satu sama lain mencari rezeki dalam mengubah nasib keluarga yang susah di Dungun, Terengganu.
 
“Saya ingin lihat kakak saya berjaya juga dan bekerja di UPM sebagai pendidik bangsa dan negara yang menyumbang kepada masyarakat . Saya ingin kakak turut membanggakan keluarga dan berkhidmat sebagai pendidik jururawat di UPM.
 
“Setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda, saya mendapat pekerjaan tetap di UPM lalu mengajak kakak yang sudah berkhidmat di hospital sebagai jururawat untuk memohon jawatan sebagai pendidik dalam bidang jururawat di Fakulti Perubatan dan Kesihatan. Beliau mencuba dan mendapat tawaran tersebut di UPM.
 
“Alangkah gembiranya saya kerana kakak diterima. Sejak itu kami bekerjasama untuk melakukan penyelidikan bersama-sama dan selalu berbincang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
 
 
Beliau berkata, mereka berdua tidak pernah ada rasa iri hati atau cemburu antara satu sama lain untuk mencapai kejayaan ini kerana kasih sayang yang diperoleh membantu mengubah hidup masing-masing yang dicapai.
 
Ketua Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM, Prof. Dr. Soh Kim Lam, kakak beliau menyatakan adik bongsunya ini sangat matang dan banyak membantu beliau mengubah kehidupannya sehingga ke tahap ini.
 
“Kami berdua ingat pesanan ayah yang menggalakkan kami untuk belajar setinggi yang mungkin. Pelajarannya yang boleh mengubah nasib hidup kita pesan ayah mereka.
 
“Keluarga kami berasal dari kampung di Terengganu dan hidup miskin. Ayah dan emak bekerja sebagai penoreh getah dan membesarkan kami 5 adik beradik. Saya sangat bersyukur adik bongsu berjaya dahulu dan membantu saya untuk mengubah nasib.
 
“Adik sangat memberi saranan untuk mengubah nasib dengan menggalakkan saya sambung belajar sehingga ijazah dalam bidang kejururawatan dan berkhidmat sebagai tenaga pengajar. Lebih membanggakan adik bongsu saya merupakan orang pertama dalam kampung kami yang keluar sambung belajar di UPM dan saya juga orang pertama dalam kampung itu mendapat ijazah dalam bidang kejururawatan,” katanya.
 
Kini mereka berjaya mendapatkan professor di UPM dalam bidang kepakaran masing-masing. Impian mereka sekarang adalah untuk menyumbang hasil penyelidikan kepada masyarakat dan penduduk kampung mereka di Terengganu.
Terima kasih kerana bersusah payah menjaga dan bersabar.
 
Andai ikut turutan umur, seorang kakak yang memberi contoh kepada adiknya. Walau siapa yang membantu dalam keluarga, hargailah kakak dan adik kerana adik beradiklah yang bersama-sama menempuh fasa jatuh bangun bersama-sama di awal membina kehidupan. -UPM

Date of Input: 03/07/2023 | Updated: 03/07/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLYIAW~