BERINTERAKSI DENGAN PENGHINAAN TERHADAP AGAMA     | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » BERINTERAKSI DENGAN PENGHINAAN TERHADAP AGAMA    

BERINTERAKSI DENGAN PENGHINAAN TERHADAP AGAMA    

Article Summary
Isu stoking yang panas waktu ini dikaitkan dengan isu penghinaan terhadap agama Islam. Dalam lipatan sirah, sekurang-kurangnya terdapat dua bentuk bagaimana berinteraksi terhadap isu penghinaan agama Islam.


Oleh : Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM

 

 

Isu stoking yang panas waktu ini dikaitkan dengan isu penghinaan terhadap agama Islam. Dalam lipatan sirah, sekurang-kurangnya terdapat dua bentuk bagaimana berinteraksi terhadap isu penghinaan agama Islam.

TINDAKAN BERTOLERANSI

Nas al-Quran menyatakan:

“Katakan (wahai Muhammad) terhadap orang beriman agar memaafkan insan yang tidak berharap dengan hari-hari Allah...”. (Surah al-Jathiah (45) : 14).

Sekurang-kurangnya terdapat dua cerita di sebalik ayat ini. Cerita pertama berkait dengan nas al-Quran surah al-Baqarah ayat 245 yang  menyatakan:

“Sesiapa yang memberi pinjaman kepada Allah maka Allah akan melipatgandakan...”.

Nas al-Quran ini berbicara tentang kebaikan yang dilakukan pada jalan Allah. namun nas al-Quran ini difahami secara zahir oleh seorang Yahudi lalu Yahudi ini berkata bahawa Tuhan Muhammad adalah faqir miskin.

Ini kerana Tuhan Muhammad hendak berhutang. Perkataan ini adalah satu bentuk penghinaan terhadap Allah. Mendengar kata penghinaan tersebut, dikatakan bahawa Abu Bakar al-Siddiq r.h. segera menghunus pedangnya untuk bertindak terhadap Yahudi ini.

Namun nas al-Quran surah al-Jathiah diwahyukan agar kemaafan diberikan. Begitu juga dalam satu peristiwa, ‘Abdullah ibn Ubay berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah anjing. Perkataan ini didapati dalam ungkapan lafaz beliau:

“Gemukkan anjing kamu nescaya anjing itu akan menggigit kamu”.

Perkataan ini merujuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w. datang dari Makkah ke Madinah. Akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. menjadi tumpuan utama umat sehingga tenggelam kekuatan ‘Abdullah ibn Ubay.

‘Abdullah ibn Ubay marah lalu menghamburkan kata hina terhadap Nabi s.a.w. Mendengar ucapan ini, ‘Umar al-Khattab r.h. segera menghunus pedang untuk bertindak terhadap ‘Abdullah ini. Namun nas al-Quran diwahyukan agar kemaafan diberikan.

Dalam satu peristiwa lain, seorang insan bernama Abu Mahzurah mencerca azan. Abu Mahzurah adalah orang Makkah. Manakala peristiwa penghinaan terhadap azan berlaku di Madinah ketika Nabi s.a.w. berkuasa.

Mendengar ucapan menghina azan, Nabi s.a.w. menemui Abu Mahzurah dan bertanya khabar serta berbual dengannya. Akhirnya Nabi s.a.w. meletakkan tangan Nabi ke atas dada Abu Mahzurah serta berdoa. Akhirnya Abu Mahzurah menerima Islam sebagai agama anutannya.

 

TINDAKAN TEGAS

Manakala dalam peristiwa pengusiran Yahudi Bani Nadhir dari bumi  Madinah, Nabi s.a.w. mengambil tindakan tegas dan keras. Ini kerana tindakan Yahudi Bani Nadhir melanggar perjanjian yang dimeterai dengan Nabi s.a.w. dalam Piagam Madinah.

Juga tindakan Yahudi Bani Nadhir berkomplot dengan pihak musyrikin Makkah untuk menyerang umat Islam di Madinah. Sebagai tindak balas, Yahudi Bani Nadhir diusir dari Madinah.

Daripada dua tindakan ini, kita perlu bertindak dengan hikmah. Ada tindakan yang bertoleransi jika tindakan menghina agama tidak memudharatkan agama dan tidak memudharatkan umat.

Namun jika tindakan itu membahayakan agama atau membahayakan umat maka tindakan tegas perlu diambil. Pada masa yang sama, matlamat untuk menyampaikan Islam tetap menjadi tujuan utama.

Dengan kemaafan, ia menggambarkan sikap dalam Islam yang begitu bertoleransi. Apatah lagi perbuatan menghina itu dilakukan secara tidak sengaja. Namun jika tindakan itu mempunyai mudharat besar seperti khianat terhadap perjanjian, maka tindakan tegas dan keras mesti dilakukan.

Dalam negara, undang-undang mesti diwujudkan terhadap penghinaan mana-mana agama. Perbuatan menghina mesti disiasat samada ia sengaja, tidak sengaja, fitnah, sabotaj dan sebagainya. Ini kerana Islam menetapkan keadilan sebagai dasar.

 

KEHARMONIAN HUBUNGAN KAUM

Walaupun kita dapati ada tindakan toleransi dan ada tindakan tegas dalam lipatan sirah, penghinaan terhadap agama mempunyai kaitan kuat dan kaitan langsung terhadap keharmonian kaum dalam negara dalam suasana hari ini.

Maka kesedaran terhadap keributan isu penghinaan terhadap agama perlu dihayati dengan sebaiknya. Tidak sewajarnya sikap kemaafan dijulang tinggi setiap kali penghinaan terhadap agama berlaku.

Ini kerana tidak semua insan memahami perkara ini. Justeru itu, penghinaan terhadap agama dan bunga-bunga terhadap penghinaan hendaklah dicegah dari awal. Maka perpaduan kaum mesti dan wajib diwujudkan. Langkah aktif ke arah perpaduan perlu dilakukan segera.

Kita semua mesti mengenali kaum yang berbeza. Kita semua mesti beradab, berakhlak mulia dan tidak melakukan apa yang boleh mengguris hati kaum yang berbeza atau agama yang berbeza. Kita mesti bergaul sesama kita bermula sejak kecil melalui sistem sekolah kebangsaan.

Date of Input: 16/04/2024 | Updated: 16/04/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVWAS~