Aplikasi Teknologi Tinggi Ubah Landskap Agromakanan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Aplikasi teknologi tinggi ubah landskap agromakanan

Aplikasi teknologi tinggi ubah landskap agromakanan

Article Summary
Menurut laporan Indeks Sekuriti Makanan Global 2019, Malaysia menduduki tangga ke-28 dengan nilai skor 73.8% berbanding dengan negara jiran Singapura yang menduduki tangga pertama dengan nilai skor 87.4%.


**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Azura Adam, Dekan Fakulti Pertanian, UPM

Menurut laporan Indeks Sekuriti Makanan Global 2019, Malaysia menduduki tangga ke-28 dengan nilai skor 73.8% berbanding dengan negara jiran Singapura yang menduduki tangga pertama dengan nilai skor 87.4%.

Dengan jumlah penduduk seramai hampir 33 juta orang, isu sekuriti makanan merupakan agenda utama negara. Kebergantungan kepada import perlu dikurangkan dengan merancang strategi yang mampu meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Dalam petikan RMKe-12 (2021-2025) yang dibentangkan pada awal tahun 2021, tumpuan khusus diberikan kepada transformasi sektor pertanian melalui Revolusi Industri 4.0. Sasarannya untuk memberi suntikan lebih moden kepada bidang pertanian melalui penggunaan teknologi tinggi yang lebih meluas.

Aplikasi teknologi tinggi mampu memberi perubahan yang besar kepada lanskap agromakanan negara. Keperluan tranformasi dan pemodenan bidang pertanian adalah untuk memastikan keselamatan dan sekuriti makanan negara terjamin.

Pertanian berteknologi tinggi merujuk kepada penggunaan teknologi terkini dalam pertanian seperti penderia, penderiaan jarak jauh, data raya, kecerdasan buatan, teknologi dron, teknologi kebendaan (IoT), dan integrasi sistem digital. Kemajuan dalam aplikasi tersebut dapat memastikan aktiviti pertanian akan lebih menguntungkan, efisien, selamat dan lestari.

Dalam sektor penghasilan tanaman makanan jangka pendek seperti sayur-sayuran, pembangunan kilang tanaman yang dilengkapi dengan sistem automasi, mekanisasi dan sistem penderia dapat memberi manfaat dan pulangan yang lumayan kepada pengusaha.

Ia berupaya melipat gandakan hasil tanaman di dalam ruang yang terhad. Selain daripada itu dengan teknologi kawalan sistem tertutup, dilengkapi dengan keperluan nutrien dan karbon dioksida yang optimum serta kawalan suhu yang teratur membolehkan tanaman  bernilai tinggi dan tanaman temperat diusahakan sepanjang masa tanpa bergantung kepada cuaca semasa.

Teknologi pertanian persis memberi kelebihan kepada petani untuk mengendali input pertanian seperti keperluan nutrien, baja dan racun perosak dengan lebih sistematik dan terkawal.

Selain itu, gabungan teknologi satelit dari Global Positioning System (GPS) dan data penderiaan jarak jauh (Remote Sensing Data) membantu petani membuat keputusan yang tepat dalam penentuan lokasi, keperluan cuaca mikro dan kandungan nutrient tanah. Ini dapat mengurangkan pembaziran dan ketidakcekapan sumber pertanian. Penggunaan dron melalui sistem kawalan jarak jauh bagi aplikasi baja dan racun perosak pula dapat megurangkan kos tenaga buruh.

Teknologi robotik pula membolehkan pemantauan dan pengurusan sumber semulajadi seperti air dan kualiti udara dilaksanakan secara cekap.  Ia juga memberi peluang kepada pengusaha pertanian  untuk megawal pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan penyimpanan hasil tanaman dan ternakan mereka.

Transformasi sektor pertanian di Malaysia yang berasaskan teknologi tinggi bakal memberi suntikan baharu kepada golongan belia untuk lebih berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Sehubungan itu transformasi program akademik pertanian perlu dibentuk agar struktur kurikulum yang digubal  selari dengan ilmu pertanian berteknologi tinggi semasa yang menitikberatkan pengalaman ‘hand-on’ dan fleksibel. Graduan yang lahir bakal menjadi peneraju bidang pertanian seterusnya agroteknoprenur yang bakal mentransformasi pertanian ke arah kerjaya berpendapatan tinggi.

Date of Input: 14/04/2021 | Updated: 14/04/2021 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLWEAN~